Capt Sha adalah seorang pengurus yang tegas dan berdisiplin

Di dalam sebuah organisasi e-sukan, pastinya akan ada seorang pengurus untuk menguruskan kebajikan pemain-pemain bagi skuad mereka. Selain itu, seorang pengurus yang hebat akan menjadikan pemain itu berasa selesa berada di dalam sebuah organisasi.

Suhaz Esports adalah salah satu pasukan yang mempunyai seorang pengurus yang bijak mengatur jadual pemain untuk kekal cergas dan berdisiplin. Beliau adalah Norshahidah atau lebih dikenali sebagai Capt Sha. Penulis sempat menemu bual beliau untuk membincangkan bagaimana peranan seorang wanita di dalam arena e-sukan Malaysia.

Ketika ditanya tentang cabaran utama beliau semasa menguruskan pasukan Suhaz Espots, “Cabaran utama semestinya kerana berlainan jantina, banyak batas yang perlu saya jaga. Walaupun saya dianggap seperti kakak atau mak oleh mereka tapi kalau ada benda yang nampak tidak kena di mata, saya akan menegurnya dengan tegas untuk memastikan mereka tahu apa yang tidak boleh dilakukan.

“Bagi saya tidak ada kekangan sepanjang menjadi pengurus untuk pasukan Suhaz.

“Sebab saya sudah biasa dengan lelaki kerana dalam keluarga saya kebanyakkan adalah lelaki. Selain itu, permulaan saya bermain Mobile Legends adalah dari ajakan adik lelaki serta saudara lelaki saya. Kami juga menubuhkan pasukan MYA ketika itu dan sudah menyertai banyak pertandingan MLBB,” jawab beliau tentang kekangan sebagai wanita untuk dalam industri didominasi golongan lelaki.

Sebagai wanita, pastinya akan ada masalah menyesuaikan diri ketika berada di gaming house pasukan itu. Namun Capt Sha berkata, “Alhamdulillah dengan pasukan Suhaz tak banyak masalah. Kerana mereka semua tahu menjaga batas, tidak ada terlebih dalam bab bergurau dan adegan tidak memakai baju ketika melakukan latihan,” 

Ditanya siapakah idola beliau di dalam arena e-sukan MLBB, beliau menjawab “Sudah tentunya Fadhil (Padel), beliau sangat hebat dan menjadi sebab utama buat saya sertai Suhaz Esports,” 

Selain itu, Capt Sha berkata pembahagian masa juga menjadi cabaran buat dirinya, “Selain e-sukan, saya juga mempunyai kerjaya lain seperti farmasi dan servis penghantaran,”

Ketika ditanya tentang rutin harian sebagai pengurus di pasukan Suhaz, “Saya akan memastikan para pemain akan bangun tepat pada waktunya, membuat latihan dan cukup makan. Di samping itu, sihat emosi dan fizikal. Elemen ini adalah sangat penting untuk membentuk seorang pemain itu menjadi salah seorang pemain yang hebat.

“Saya menganggap pasukan Suhaz ini sebagai keluarga saya sendiri ibarat macam adik-adik saya. Jika mereka mempunyai masalah peribadi, saya akan mendengarnya dan menasihati mereka termasuk masalah di dalam permainan itu,” tambahnya.

Ternyata peranan Capt Sha di dalam pasukan menjadi salah satu penyebab pemain-pemain Suhaz Esports begitu berdisiplin.

Di samping itu, mempunyai kekuatan mental dan kawalan emosi ketika bermain di dalam permainan.

Tahniah diucapkan kepada Capt Sha kerana berjaya menguruskan pemain Suhaz dengan jayanya dan menjadi wanita yang memberikan peranan penting dalam e-sukan Malaysia. Beliau membuktikan bahawa sebagai seorang wanita, ianya tidak menjadi halangan untuk berjaya di dalam arena e-sukan ketika ini dan pada hari-hari yang mendatang.

RELATED NEWS

+