CS:GO: ‘Ini Antara Kejutan Hari Raya Yang Bermakna Dalam Hidup Saya’ – Ramona

“Memang satu kejutan pada Hari Raya Aidilfitri ini, syukur Alhamdulillah,” itulah reaksi gembira GFi# atau nama sebenarnya Ramona Azween sebaik saja mendapat khabar bahawa pasukan diketuainya, Orange Sphynx mendapat jemputan terus ke kejohanan CS:GO wanita, ZOWIE DIVINA peringkat Asia yang akan bermula pada 20 – 23 Jun nanti di Shanghai, China.

Pasukan itu diwakili oleh Ramona Azween (GFi#) sebagai kapten, Aisya Sabrina Sabri (Argent), Shanice Choo Xin Ru (Alaska), Jasmine Christina Sim Huiyan (Jazminism) dan Iffah Nazurah Saidi (3ve).

“Kami sangat gembira. Kami dah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini selama setahun bersama sebagai sebuah pasukan. Ia adalah pengalaman paling berharga dan kami akan berlatih lebih giat lagi bukan untuk diri sendiri tapi juga untuk keluarga dan negara. 

“Kami sangat meminati permainan ini (CS:GO) jadi ini adalah satu ganjaran bermakna buat kami semua,” katanya.

Pengalaman baru

Gambar: Orange Sphynx

Ramona berkata, semestinya ia akan jadi satu pengalaman baru memimpin satu pasukan wanita bertanding di luar negara yang mana sebelum ini beliau kerap menyertai skuad mixed team (bersama lelaki).

“Ia adalah pengalaman baru untuk kejohanan wanita ini. Kami semua akan menghadapinya bersama-sama untuk pertama kali. 

“Kali ini, kami tetapkan satu matlamat iaitu menjadi yang terbaik dan saya percaya saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Ramona mewakili Orange Sphynx juga mengucapkan tahniah kepada skaud MBT.Baeters kerana berusaha bersungguh-sungguh untuk layak di pusingan kelayakan baru-baru ini.

Twit daripada akaun rasmi ZowieDivina mengumumkan jemputan terus ini selain mengatakan Orange Sphynx adalah antara pasukan pilihan untuk ke DreamHack Showdown di Valencia, Sepanyol.

Hari raya pun training

Ramona bersama ahli kumpulan Orange Sphynx

Kata Ramona, Hari Raya Aidilfitri adalah sambutan yang bermakna dalam hidupnya dan juga keluarga tapi latihan tetap diteruskan apabila punya waktu terluang.

“Kami semua mengambil cuti untuk Aidilfitri dan saya pula mengambil cuti setengah hari sebab kampung pun dekat sini (Kuala Lumpur).

“Jadi lepas dah beraya dan luang masa dengan mak dan keluarga, balik je saya dah buka komputer dan praktis. Memang dah jadi satu kebiasaan agaknya (ketawa).

“Semua ahli mempunyai masa terluang masing-masing untuk berlatih jadi kami fikirkan satu masa yang sesuai. Kalau boleh memang berlatih awal sebab ada yang masih belajar,” katanya.

Ucap terima kasih kepada peminat

Gambar: The Star

Kejayaan sekarang pastinya takkan menjadi kenyataan tanpa sokongan peminat. 

“Kami takkan berada di sini kalau bukan kerana anda semua. Terima kasih kerana tak putus bagi sokongan.

“Apabila menyertai skuad wanita, saya percaya peluangnya adalah 50-50 tapi saya bersyukur kerana berjumpa dengan mereka dan mereka menemui saya. 

“Kami berlima akan buat yang terbaik untuk buktikan kekuatan skuad wanita negara,” katanya.

Biarpun mereka berdepan situasi jatuh bangun dalam hidup, kata Ramona, tanpa sokongan pastinya tidak akan sampai ke tahap ini.

“Peminat sentiasa dengan kami. Menerusi media sosial, setiap orang memberi sokongan begitu juga dalam dunia nyata. Saya sangat berterima kasih dan syukur Alhamdulillah,” katanya.

Pasukan CS:GO wanita tempatan, MBT.Baeters juga akan menjadi wakil Malaysia kedua untuk ke China. Daripada kejohanan utama itu, dua pasukan teratas akan layak ke Dreamhack Showdown pada 5 Julai – 7 Julai di Valencia, Sepanyol yang menawarkan hadiah wang tunai terkumpul RM400,000.

Wakil yang layak akan bertanding bersama pasukan CS:GO wanita yang terbaik di dunia.

RELATED NEWS

+