FIFA Online 3 NCS7: ‘Kemenangan Ini Untuk Ibu dan Ayah’ – Wan Muhammad Hakimm

Follow kami di WhatsApp , Instagram, and TikTok MyGameOn, jadi antara yang terpantas untuk dapatkan berita e-sukan, gaming dan anime!

Kejayaan seorang pemain game profesional tidak hanya terletak pada kemahirannya semata-mata tapi sokongan dari insan tersayang iaitu ibu bapa dan keluarga. Apa yang disaksikan hari ini benar-benar membuka mata penulis mengenai keindahan e-sukan dan komunitinya.

Tatkala kemeriahan final FIFA Online 3 National Championship Musim 7 anjuran Garena yang berlangsung di Kuantan City Mall, Kuantan, penulis bertuah dapat menemu ramah bapa kepada Wan Muhammad Hakimm (P3rlisTeamJr).

Hakimm (dua dari kanan) bersama ahli pasukan Orange. RF Maestro

Anak muda ini adalah kapten pasukan Orange. RF Maestro yang berjaya membawa pulang RM16,000 selepas dinobatkan sebagai juara, semalam.

Ikuti soal jawab penulis bersama pakcik Wan Narizan yang sporting ni!

WAN Narizan

Tahniah kepada anak pakcik yang berjaya mara ke final dan bergelar juara!
Alhamdulillah, kami sekeluarga datang dari Arau Perlis semata-mata nak bagi sokongan dekat dia. Dari pagi hingga petang di sini.

Pada usia 19 tahun, memang dia perlukan sokongan moral bukan saja dari kawan-kawan tapi keluarga. Saya bangga dengan pencapaiannya!

Apa persepsi pakcik mengenai kariernya?
Saya beri ruang dan masa untuk dia ceburi kerjaya ini sepenuh masa. Dia pun masih muda, bila-bila saja dia boleh sambung belajar.

Bukan saya tak sarankan sambung pengajian, tapi bagi dia pilihan untuk terus komited dengan FIFA ataupun sambung belajar. Dia yakin untuk terus menceburi bidang ini setakat ini.

Apa yang pakcik nampak perubahan pada dirinya sejak mula bergiat dalam e-sukan 4 tahun lalu?
Prestasinya meningkat dan dia semakin bersungguh-sungguh nak jadi yang terbaik. Setakat ini pun dia sudah meraih keseluruhan RM70,000. Jadi saya memang percaya dan yakin bidang ini boleh menjamin kewangan buat dirinya.

Bagaimana dengan rutin hariannya?
Sejak bergelar pemain profesional sepenuh masa, dia akan ke Kuala Lumpur setiap minggu untuk menyertai kejohanan di sana.

Kalau ada masa memang saya dan keluarga akan turun ke KL untuk bagi sokongan. Dia pun ada ramai kawan-kawan rapat yang sentiasa ambil berat tentang dirinya jadi saya tidaklah begitu bimbang.

Apa tanggapan pakcik mengenai industri e-sukan?

Sejujurnya saya rasa kita sebagai generasi terdahulu patut beri peluang kepada anak-anak untuk buktikan kemahiran mereka. Kalau mereka komited, berikan ruang dan sokongan untuk dijadikan kerjaya berterusan.

Saya sendiri nampak industri ini makin berkembang sejak beberapa tahun lalu. Sebagai bapa, saya sendiri mahu lihat Hakimm gembira kejar impiannya kerana kini saya nampak dengan jelas hala tuju bidang ini ke mana.

WAN Muhammad Hakimm (P3rlisTeamJr)

Tahniah atas kemenangan anda tadi! Apa perasaan selepas bergelar juara?

Saya rasa puas hati! Kami bertungkus lumus dari lower bracket dan kedudukan mata memihak kepada pihak lawan. Saya bangga dapat comeback dari bawah!

Kejayaan ini milik kami sepasukan dan semestinya hadiah berharga untuk ibu dan ayah serta keluarga yang sentiasa beri sokongan tanpa henti.

Ceritakan sedikit mengenai kerjaya anda

Saya akan selalu ke Kuala Lumpur untuk menyertai Liga Cyber.  Pihak Orange juga menyediakan tempat tinggal jadi tiada masalah untuk berlatih. Saya berpuas hati dapat menceburi bidang ini pada usia begitu muda.

Apa harapan anda untuk masa depan?

Sementara ada peluang ini akan saya gunakan sebaiknya. Kalau boleh, saya ingin terus mewakili Malaysia hingga ke luar negara dan buktikan kemampuan bakat muda di negara kita!

PENGURUS Kerjasama Garena (Operasi Permainan), Yeap Su Fern

E-sukan kerap diadakan di Kuala Lumpur. Mungkin ini adalah satu pendekatan berlainan dari Garena?

Ya kami rasakan potensi untuk gaming sangat besar jadi ia tidak seharusnya terhad di kawasan seperti Kuala Lumpur dan Selangor. Lagipun,  FO3 adalah permainan bola sepak digital dan ia mampu menarik minat peminat bola sepak di Pantai Timur.

Apakah cabaran yang dihadapi sewaktu menganjurkan kejohanan ini?

Pada mulanya kami agak bimbang dengan sambutan yang diterima penonton. Tapi ternyata, e-sukan sangat dialu-alukan di sini! Kelihatan kesemua pengunjung enjoy acara sebegini.

Ini menunjukkan e-sukan lebih accessible di Pantai Timur. Jadi kami bercadang untuk melebarkan sayap di bahagian selatan tanah air dan Sabah serta Sarawak juga.

Kolaborasi bersama Media Prima turut memberi akses kepada golongan sasar untuk menyaksikan kejohanan e-sukan (di televisyen) walaupun tidak berada di lokasi. Ini membuatkan lebih ramai yang terdedah dan mula ambil tahu mengenai industri ini.

RELATED NEWS

+