Ikuti Panel Diskusi E-Sukan Meliputi Isu Pengurusan Pemain, Kesihatan Mental & Banyak Lagi Di EPIC!

Esports Professional Industry Conference (EPIC) adalah persidangan e-sukan profesional untuk menjaringkan hubungan-hubungan bermakna bersama nama-nama besar industri e-sukan untuk menghasilkan ekosistem e-sukan yang boleh menyumbang kepada tumbesaran ekonomi e-sukan negara.

Persidangan yang julung kalinya diadakan di Perak bakal mengupas isu-isu penting dalam pembangunan e-sukan secara menyeluruh bersama tetamu-tetamu jemputan yang dijemput oleh organisasi e-sukan di bawah kerajaan negeri Perak, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

Pengunjung EPIC mendapat peluang untuk mendalami dan kongsi pandangan tentang e-sukan yang mencakupi lapan topik utama iaitu pendidikan, kewangan, undang-undang, teknologi, pelancongan dan pemasaran, kesihatan serta infrastruktur bersama pemain profesional, pengurus pasukan e-sukan dan wakil-wakil kerajaan.

Pada hari pertama EPIC (2 Mac 2019), pemain profesional Dota 2 dan ahli Team Secret, Bryan Yeik ‘MidOne’ Nai Zheng turun padang bagi membincangkan kerjayanya sebagai pemain e-sukan berjaya dan menyemak strategi untuk bangunkan karier dari tahap amatuer ke profesional dalam sesi bertajuk “How to Start Esports“.

Pemilihan bakat e-sukan adalah penting untuk hasilkan ekosistem e-sukan positif. Ikuti perbincangan ‘Talent Discovery & Experience” dari perspektif pemain baru, pengurusan bakat dan cabaran pengurusan yang diselia oleh hos Faraz (eGG Network) bersama CEO Institut Darul Ridzuan, Dr Mazalan Khamis, pemilik dan pengurus Idonotsleep Esports, Amy Ashford, pengurus operasi The Gaming Company, Ian Tan.

Antara permasalahan sering diutarakan oleh pemain adalah konflik terma dan syarat disediakan semasa menandatangi sesuatu kontrak. Peguam-peguam, Richard Wee dan Lesley Lim dari MahWengKwai & Associates berbicara tentang peraturan pemain e-sukan harus tahu dan bincang kepentingan tribunal jika ditubuhkan dalam panel “Esports Regulation & Women Participation.

Panel ini juga fokus kepada penyertaan kaum wanita juga semakin meningkat dalam e-sukan tetapi mereka sering mengalami cemuhan dalam industri yang didominasi kaum lelaki. Pengasas MEGPlay, Constance Lim akan bincangkan pengalaman e-sukan lebih bermakna bagi golongan hawa bersama moderator, Shane Tam dari Mobhouse Productions.

Pada hari kedua EPIC (3 Mac 2019), Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) YB Syed Saddiq juga bakal menyampaikan panel “Grassroot Malaysia vs Rest of the World” untuk menarik minat peminat e-sukan Malaysia ke arah ekosistem e-sukan stabil dan profesional.

Isu-isu kesihatan turut dipandang berat dalam industri e-sukan. Pengurus e-sukan KBS, Mohd Syazwan akan kupas lebih lanjut tentang kesihatan mental dan fizikal serta disiplin diterapkan dalam pemain bersama naib menteri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YB Dr Lee Boon Chye, Dr Lara Kong dari PGY Chinese Medicine dan pengurus dan pengasas Didasko Resources, Kyle Tan dalam sesi “Esports Health” 

Populariti e-sukan dalam kalangan anak muda mendorong banyak jenama dan syarikat mahu melabur ke industri e-sukan. “Bridging The Future (Tourism, Brands & Business) adalah panel yang diselia oleh pengurus besar Media Prima Digital, Nicholas Sagau bersama Exco Perak, YB Tan Kar Hing, Jeffrey Ong (Dentsu) dan naib presiden kandungan sukan Astro, CK Lee  bercakap mengenai usul mengadakan pelancongan e-sukan yang telah dijayakan di negara Korea dan China serta melihat bagaimana e-sukan ini boleh membawa pulangan lumayan untuk jenama dan syarikat.

Selain itu, topik-topik penting seperti perkakasan dan infrastruktur bagi menjalankan acara e-sukan yang lancar seperti pemilihan platform dimainkan dan jaringan internet laju turut dibincangkan lebih mendalam.

Persidangan juga diakhiri dengan panel “Driving Esports Economy: Perak As a Hub” yang dibarisi oleh YB Howard Lee, Prof Ir Dr Nursyarizal dari Universiti Teknologi Petronas dan Hasnul Hadi Samsudin dari MDEC. Panel ini fokus kepada cara-cara memacu industri e-sukan bagi menjana ekonomi negara.

EPIC akan berlangsung selama dua hari bermula dari 2 Mac sehingga 3 Mac ini dan kemasukan adalah PERCUMA! Serikan hari minggu korang dengan segalanya e-sukan di Casuarina Convention Center, Ipoh, Perak.

Untuk maklumat lanjut, korang boleh layari laman rasmi EPIC dan daftarkan diri sebagai pengunjung di sini.

RELATED NEWS

+