Segalanya Korang Perlu Tahu Tentang EPIC – Persidangan E-Sukan Profesional Pertama Di Malaysia!

Ayuh pakat datang bersama rakan-rakan untuk bertemu dan berkongsi ilmu bersama para pemain e-sukan profesional dan pakar-pakar industri di persidangan e-sukan paling epik diadakan di Perak!

Memang tidak dinafikan e-sukan semakin hangat diperkatakan. Pada tahun 2018, kita sudah menyaksikan acara-acara penting dalam e-sukan tempatan seperti dua pemain professional Pro Evolution Soccer (PES) ke Sukan Asia 2018,  penglibatan e-sukan buat kali pertama di SUKMA Perak & Hari Sukan Negara dan yang terbesar adalah suntikan RM10 juta untuk pembangunan e-sukan dan permainan video oleh kerajaan.

Menurut data laporan e-sukan Newzoo, seramai 645 juta orang menonton acara e-sukan dari seluruh dunia serta hampir separuh daripada angka sebanyak 57% adalah penonton tegar e-sukan datang dari benua Asia Pasifik iaitu termasuk Malaysia dan Asia Tenggara. Malah, industri e-sukan dianggarkan membawa masuk pulangan besar USD$1 billion menjelang tahun 2019.

Melihat potensi besar pasaran e-sukan tempatan dan antarabangsa, inilah segalanya korang perlu tahu tentang Esports Professional Industry Conference (EPIC)!

Apa itu EPIC?

Esports Professional Industry Conference (EPIC) adalah persidangan e-sukan profesional untuk berkongsi pandangan dan mendalami pengetahuan tentang e-sukan bersama nama-nama besar daripada industri e-sukan di dalam dan di luar negara. Persidangan buat julung kali pertama di Malaysia ini dikelola oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), sebuah organisasi di bawah kerajaan negeri Perak. 

Bertemakan ‘More Than Gaming‘, EPIC mahu menghasilkan ekosistem e-sukan positif dan menyediakan platform bagi penyampaian maklumat e-sukan tepat dan berkualiti kepada masyarakat umum yang boleh memacu ekonomi negara pada jangka masa terdekat.

Aktiviti apa bakal berlangsung di EPIC?

EPIC membawakan pelbagai aktiviti berlandaskan tiga teras utama dari perspektif persidangan, pameran dan kejohanan e-sukan. Berikut adalah seluruh aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang dua hari persidangan:

Persidangan EPIC 

Sesi perbincangan bersama tokoh-tokoh industri e-sukan dalam pelbagai jenis topik penting iaitu pendidikan, kewangan, undang-undang, teknologi, pelancongan dan pemasaran, kesihatan serta infrastruktur dengan galakan ke arah pembangunan e-sukan maju dengan ekosistem dan ekonomi positif.

Pameran EPIC

Jaringan e-sukan diperkukuhkan lagi dengan sokongan jenama dan syarikat dalam industri e-sukan. Pameran menjemput syarikat terkenal meliputi bermacam-macam platform dari PC ke konsol dan melihat barangan periferal gaming, peralatan elektronik serta membuka ruang untuk kerjaya dalam e-sukan. 

Pameran ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk kumpul maklumat seperti lanjutan pembelajaran, peluang perniagaan dan bantuan kewangan.

Kejohanan EPIC

Saksikan bakat-bakat e-sukan terpendam secara solo atau berkumpulan di kejohanan EPIC berlangsung pada 2 dan 3 Mac ini! Peserta bakal bertanding dalam 4 game yang menggunakan kesemua platform iaitu Dota 2 (PC), PUBG Mobile (mobile), Mobile Legends (mobile) dan FIFA 19 (konsol).

Keempat-empat pertandingan game mempunyai hadiah wang terkumpul tersendiri. Untuk Dota 2, PUBG Mobile dan Mobile Legends, juara bakal membawa pulang hadiah wang RM2,000 manakala juara FIFA 19 bakal memenangi hadiah RM1,000.

Siapa yang patut hadir ke EPIC?

Pemain profesional Dota 2 kelahiran Malaysia, MidOne dari Team Secret bakal berucap di EPIC pada hujung minggu ini!

 
Persidangan e-sukan profesional ini ditujukan khas kepada KORANG SEMUA peminat e-sukan datang beramai-ramai ke Ipoh, Perak.

Pada tahun ini, EPIC menjemput lebih daripada 35 pengucap terdiri daripada pemain profesional, doktor sehingga ke badan-badan kerajaan. Antara mereka yang dijemput adalah pemain profesional Dota 2 iaitu ahli Team Secret, Bryan Yeik ‘MidOne’ Nai Zheng; Menteri Kementerian Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, YB Howard Lee Chuan How dan ramai lagi.

Selain itu, korang boleh bertemu dengan 30 jenama, syarikat dan pelabur yang berminat dalam peluang perniagaan dan jalinan kerjasama e-sukan.

Di manakah EPIC akan diadakan?

EPIC akan berlangsung selama dua hari bermula dari 2 Mac sehingga 3 Mac ini dan kemasukan adalah PERCUMA! Serikan hari minggu korang dengan segalanya e-sukan di Casuarina Convention Center, Ipoh, Perak.

Untuk maklumat lanjut, korang boleh layari laman rasmi EPIC dan daftarkan diri sebagai pengunjung di sini.

 

RELATED NEWS

+