‘Kalau Anak Saya Jadi Pemain Profesional, Saya Akan Sentiasa Sokong Dia,’ Luah Ibu Pemain Mobile Legends Di #XPAXKEK

Kejohanan E-Sukan Kampus #XPAXKEK Semester 1 baru sahaja melabuhkan tirai setelah merantau ke seluruh negara selama dua bulan untuk mencari bakat-bakat e-sukan baru di universiti dan kolej tempatan.

Ketika berada di #XPAXKEK Grand Final pada 26 dan 27 April lepas, saya mendapat peluang untuk bertemu dengan satu keluarga yang cukup menyokong usaha anaknya, Joseph Ooi Min En iaitu wakil daripada pasukan UMSKAL E-Sports (Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan).

Kami sempat menemuramah ibu bapa Joseph, Ooi Hee Peng berusia 60 tahun dan Khor Yen Lee, 56 tahun tentang penglibatan Joseph dalam e-sukan, bagaimana mereka menyeimbangkan pembelajaran dan permainan kompetitif dan harapan mereka sekiranya anak mereka serius dalam e-sukan.

Dari kiri: Deborah, Joseph, Khor Yen Lee dan Ooi Hee Peng

MyGameOn (MGO): Apa pendapat anda tentang Kejohanan E-Sukan Kampus #XPAXKEK? 

Ooi Hee Peng: Ini adalah pengalaman baru bagi saya. Oleh kerana anak saya sangat meminati bidang ini, saya mesti datang dan sokong dia. Walaupun saya bukanlah gemar sangat melihat dia bermain game setiap hari di rumah, tetapi ini adalah satu pertandingan dan saya harus sokong dia.

Khor Yen Lee: Sangat meriah. 

MGO: Apa pandangan anda tentang e-sukan?

Ooi: Saya rasa kalau anda tidak ketagih main game, ia adalah salah satu cara bernas untuk merangsang pemikiran. Sebagai seorang pemain, mereka mesti tahu bagaimana untuk mengawal diri. 

MGO: Apa perasaan anda apabila lihat anak anda main game secara kompetitif?

Ooi: Saya rasa ia bagus untuk dia kerana kami tidak boleh kawal apa yang orang muda suka. Selagi dia boleh mengamalkan kawalan diri terhadap tempoh masa untuk bermain game, saya rasa ia baik.

Khor: Saya rasa gembira dan bangga melihat anak saya naik ke atas pentas dan jadi wakil UMS.

MGO: Boleh beritahu pandangan anda tentang ada sesetengah ibu bapa berpendapat main game ini boleh membawa kesan negatif?

Ooi: Setakat ini, pembelajarannya elok-elok sahaja. Saya rasa dia dapat mengawal diri dengan baik. Perkara yang saya paling risau adalah jika dia terlalu tertumpu sangat main game, dia tidak dapat bersosial seperti bertegur sapa atau mengorat wanita (gelak).

Khor: Kalau ia sekadar hobi, apa salahnya. Asalkan ia tidak mengganggu pembelajaran, makan minum dan tidurnya.

Joseph berada di paling kanan bersama rakan sepasukan UMSKAL E-Sports iaitu Clearance Ng Khai Siang (GEN Cl3aRance), Mohamad Madani bin Ahmad (GEN Kaka), Ahmad Zaki bin Ab Kassim (Gen Lizzaky), Muhammad Hairi bin Endri (Gen 2D) & Mohamad Walid Shahmir bin Mohammad (GEN NEX)

MGO: Bagaimana anda menasihatkan Joseph supaya dia boleh seimbangkan pembelajaran dan hobi gemar main game terutamanya semasa masuk pertandingan #XPAXKEK?

Ooi: Bila tiba masa untuk pertandingan, dia boleh letak segala usaha yang dia boleh lakukan semasa latihan. Selepas itu, dia perlu belajar bersungguh-sungguh dan mungkin pada satu hari itu, dia boleh luangkan satu jam untuk bermain game.

Khor: Saya bagi nasihat supaya Joseph tumpukan fokus kepada game itu.

MGO: Apakah nasihat yang anda ingin tujukan kepada ibu bapa untuk amalkan gaya permainan sihat?

Ooi: Kita tidak boleh kawal apa mereka suka kerana kita sudah tiba di arus moden yang mana penggunaan Internet itu semakin rancak. Semakin kerap anda kawal anak, makin banyak mereka main senyap-senyap di belakang anda. Salah satu cara untuk elakkan ini adalah untuk membiarkan mereka bermain tetapi pastikan dalam kawalan kita.

Khor: Generasi kini suka bermain game. Saya akan benarkan main asalkan game itu tidak terlalu ganas dan negatif sangat. Pastikan mereka tidak ketagih kepada game ini sehingga mereka tidak ada masa untuk tidur dan makan minum.

MGO: Jika Joseph dapat menjadi atlit e-sukan profesional pada suatu hari nanti, apa perasaan anda?

Ooi: Buat masa sekarang, saya tidak pasti lagi. Kita lihatlah nanti (gelak).

Khor: Saya tidak boleh bayangkan (gelak). Kalaulah dia berjaya jadi wakil e-sukan antarabangsa, saya akan tetap berada di sisinya dan sokong dia.

Pasukan Joseph, UMSKAL E-Sports berjaya membolot naib juara dalam kategori Mobile Legends: Bang Bang manakala UMS pula adalah juara keseluruhan bagi #XPAXKEK Semester 1 2019. Untuk lihat siapa yang menang PES 2019, Dota 2, pemenang Hackathon dan juara keseluruhan Semester 1, sila rujuk di sini.

Kempen #HealthyGaming adalah initiatif yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan produktif bagi menjana pembangunan e-sukan dan industri permainan digital negara.

Terima kasih kepada XPAX, Kitamen, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Predator, Sades, Moonton E-Project, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Malaysia (ESM), Cadbury, Todak, Boost, Mountain Dew dan Lost World atas kerjasama ini.

Ikuti MyGameOn di Facebook dan Instagram serta saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+