Kedudukan pasukan Malaysia dicabar, pasukan dari Filipina mula tunjuk kebangkitan dalam liga FFCS

Artikel ini ditulis oleh Firas Aliyan Idris

Pasukan Malaysia dilihat menghadapi saingan yang hebat daripada pasukan Filipina di hari kedua Siri Cabaran Free Fire (FFCS) musim kedua 2022. 

Pada aksi semalam, pasukan Filipina iaitu K9 Esports, Bloody Head dan Anxiety mempamerkan aksi yang memberangsangkan selepas mengutip mata yang melonjakkan pasukan itu ke muka surat pertama carta liga.  

Tambahan mata yang dikutip oleh tiga pasukan Filipina itu memastikan persaingan lima terbaik semakin sukar bagi pasukan Malaysia. 

Meskipun Todak meraih dua Booyah pada dua pusingan pertama tetapi kelebihan lapan pusingan yang dimainkan kumpulan B tidak dimanfaatkan dengan baik oleh Todak pada enam pusingan seterusnya. 

Sebaliknya, K9 Eports yang mengutip dua Booyah dan Anxiety mencatat satu Booyah berjaya merapatkan kedudukan dalam perebutan tiga terbaik liga dengan masing-masing mengumpul 146 mata dan 139 mata keseluruhan. 

Liga Siri Cabaran Free Fire (FFCS) musim kedua masih berbaki dua minggu, hanya 12 pasukan terbaik akan layak ke Final pada 30 hingga 31 Julai 2022.

Kejohanan ini menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM130,000 dan penyertaan sebanyak 18 pasukan dari empat buah negara.

Jangan lupa saksikan aksi pertarungan di Facebook/Youtube rasmi Garena Free Fire setiap Sabtu dan Ahad pada 2 hingga 31 Julai ini.

RELATED NEWS

+