Pasukan Malaysia yang akan menyertai Kejohanan Dunia Mobile Legends, M3, Todak nampaknya lebih optimis dan yakin dengan penambahan jurulatih serta penganalisis baru mereka iaitu Muhammad Hazim Firdaus Ismail, 24.
Pengurus Pembangunan E-Sukan Todak, Radzi Rahman atau Ikuto berkata, berbanding tahun lepas, kali ini ada kepakaran baru dibawa masuk.
“Kami bukan saja ada jurulatih, penganalisis malah kami hantar pemain bersama dengan pakar psikologi. Ia penting apabila berada di negara orang kena bersiap sedia bukan saja dari segi fizikal tapi juga mental.
“Ini kerana kami ingin mempamerkan prestasi maksimum dan pihak pengurusan bagi yang terbaik untuk semua pemain buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui ketika acara ‘flag off’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Mengulas lanjut, Ikuto berkata kesan positif boleh dilihat daripada penambahan penganalisis ini.
“Kesan dia lebih baik dari dijangka. Pemain hanya perlu bermain dan jurulatih akan tahu apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan,” katanya.
Malah, katanya, Todak sentiasa menyasarkan gelaran juara dunia dan ini kali ketiga mereka cuba untuk merealisasikannya.
“Sasaran kami nak jadi juara di peringkat dunia. Insya-Allah ada rezeki di M3 ini, boleh bawa balik piala untuk Malaysia,” katanya.
Ikuto juga mengatakan saingan di kumpulan B sememangnya sukar namun perjumpaan di scrim berulang kali sebelum ini menunjukkan mereka yakin boleh menewaskan mereka di Singapura nanti.
Todak akan lawan ONIC ID, ONIC PH dan wakil Brazil, Vivo Keyd di peringkat kumpulan bermula 6 Disember nanti.
Mereka diwakili oleh:
- Ciku – Muhammad Danial Mohd Fuad
- Moon – Zikry Shamsuddin
- 4Meyz – Wan Usman Wan Imran
- Yums – Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi
- Momo – Idreen Abdul Jamal
- Ajiq – Muhammad Amirul Raziq Mohd Azman
- Moyy – Mohamad Farhan bin Wakiman
- (Jurulatih) Hazim – Muhammad Hazim Firdaus Ismail
- (Pengurus) Ashi – Mohd Syazlan Mohd Rosdi
- (Pembantu Pengurus) Eone – Muhammad Rizwan Abdullah
M3 mengumpulkan 16 pasukan MLBB seluruh dunia merebut hadiah terkumpul AS$800,000 (RM3.3 juta).
Ia akan dilangsungkan di Pusat Konvesyen dan Pameran Suntec, Singapura bermula 6 Disember hingga 19 Disember ini.