MPL: OzoraVeki – dari League of Legends ke Mobile Legends

Poon Kok Sing atau OzoraVeki bukanlah nama baru dalam industri. Malah, jejaka berbakat ini pernah menempa nama dalam League of Legends apabila menyertai pasukan nombor satu negara, Kuala Lumpur Hunters pada beberapa tahun lepas.

Selesa bersama Geek Fam sekarang, Veki sebenarnya berkata keputusan ini bukanlah mudah (berpindah dari LoL ke Mobile Legends).

“Pada tahun 2018, hampir tiada peluang bagi pemain profesional untuk mendapat peluang bertanding di peringkat tempatan.

“Kalau mahu pun, kena main di luar negara (bersama pasukan lain yang mana arena LoL masih aktif dalam negara tersebut).

“Saya pun pilih untuk berada di Malaysia kerana permintaan buah hati,” katanya.

Veki bersama skuad Kuala Lumpur Hunters. Foto: Tiltreport

Pada tahun itu juga, Veki menemui peluang dalam Mobile Legends. Bagai bulan jatuh ke riba, dia nampak masa depan karier sebagai pemain profesional di platform peranti pintar.

“Ketika itu, MPL musim kedua. Saya nampak komuniti Mobile Legends ini besar dan ada banyak peluang untuk jana pendapatan.

“Ada banyak kejohanan tempatan juga dan pengalaman baru yang saya perlu lalui. 

“Objektif saya sememangnya untuk bertanding di peringkat tertinggi jadi itu antara sebab saya pilih bermain untuk Geek Fam dan menyertai MPL,” katanya.

Dia juga mengakui permainan mudah alih seperti Mobile Legends, walaupun kelihatan mudah namun ada cabaran tersendiri.

“Apa yang saya boleh katakan, permainan mudah alih memang direka untuk menyenangkan pemain.

“Tapi yang menjadi cabaran adalah membuat keputusan dalam masa singkat dan gameplay pula laju jadi setiap kesalahan lebih besar impaknya.

“Jika buat satu kesilapan besar, permainan itu boleh berakhir dengan begitu saja,” katanya yang percaya keserasian antara pemain adalah kunci utama kemenangan dalam Mobile Legends.

Akhir kata, Veki berharap peminat terus memberikan sokongan terhadap pasukan Geek Fam yang bakal menghadapi MPL MY/SG Musim Keenam bermula Jumaat ini.

Musim Liga MPL MY/SG Musim Keenam akan bermula pada Jumaat hingga Ahad ini untuk enam minggu.

10 pasukan Malaysia dan Singapura bertanding bagi merebut gelaran juara.

Ikuti kami di Facebook, Twitter dan Instagram. Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+