MrD optimis Blacklist mampu bangkit, ramal tiga pasukan bakal bersinar di minggu kedua MCPS

Individu berpengalaman dalam arena kompetitif Free Fire, MrD atau nama Mohd Ridhwan Kadar yakin terhadap pasukannya iaitu Blacklist International bakal bangkit di minggu kedua Kejohanan Majors MCPS musim kedua.

Menerusi siaran langsung di Facebook, dia mengatakan pasukannya ingin berikan sehabis baik pada minggu ini selepas aksi yang kurang konsisten minggu lalu.

“Minggu pertama agak sukar kerana terdapat perselisihan kawasan mendarat (dropspot) antara pasukan lain,”katanya.

Mrd juga sempat memetik beberapa pasukan berpotensi yang bakal menyinar pada hujung minggu ini.

“Bagi saya Geek Fam, SEM9 dan mungkin Todak bakal naik minggu kedua ini,” katanya.

Sehubungan itu, dia juga menyifatkan pasukan itu masih menyimpan rentak sebenar permainan dan mungkin dalam proses mengkaji gaya permainan pasukan lawan.

“Mereka sudah lebih setahun dalam kejohanan Majors dan sudah terbiasa dengan suasana permainan, jadi akan ada perubahan besar di minggu kedua,” katanya lagi.

Namun, dia menegaskan yang jika pasukan itu tidak menonjol mungkin kerana kurang analisis dan latihan tertentu.

Kejohanan Majors MCPS bakal bersambung pada hujung minggu ini, Sabtu dan Ahad yang akan bersiaran secara langsung di Facebook dan Youtube rasmi Garena Free Fire Malaysia pada jam 1 petang.

RELATED NEWS

+