“Mula-mula malu.. tapi sekarang dah serasi,” – LinkEzaa

Mohd “LinkEzaa” Hadim adalah salah seorang pemain profesional Mobile Legends yang memulakan debut di MPL MY musim ke-8.

Dia berjaya meraih gelaran MVP untuk minggu kedua dan keempat musim liga serta best rookie secara keseluruhan. Pencapaian itu cukup untuk mengangkat namanya sebagai rising star di dalam arena kompetitif Mobile Legends.

Selepas mendapat tempat ketiga di MPL MY musim ke-8, dia bersama pasukan menyertai Kejohanan Jemputan Liga Profesional Mobile Legends (MPLI) 2021 namun tewas di tangan pasukan Alter Ego pada pusingan pertama.

Semangatnya untuk terus bermain tidak terhenti di situ kerana PABZ Esports MY mengumumkan LinkEzaa sebagai salah seorang ahli mereka selepas dirinya tamat kontrak bersama Orange Esports.

Tidak berapa lama kemudian, LinkEzaa sekali lagi beralih ke pasukan lain iaitu Team Caracal. Team Caracal terdiri dari bekas pemain RSG MY dan juga Team Bosskurr. LinkEzaa bermain sebagai jungler pasukan dan mereka berjaya melayakkan diri ke peringkat liga MPL MY musim ke-9 selepas menewaskan pasukan Team Haq Academy di peringkat kelayakan MPL MY.

KESERASIAN

Kami dari pihak MyGameOn sempat menemu bual Hadim tentang pengalamannya bersama Team Caracal.

“Lain dari yang lain, saya sudah serasi bersama pasukan Orange Esports sebelum ini, jadi corak permainan kami menjadi kemas dan synchronize. Manakala di Team Caracal, saya kurang keserasian dengan pasukan pada peringkat awal.

“Namun hasil tunjuk ajar dari jurulatih serta latihan yang kerap, kami berjaya membina keserasian itu bersama sebelum menjelang MPL MY musim ke-9,” ujarnya.

CABARAN

Ketika ditanya tentang cabaran bermain serta menyesuaikan diri dengan pasukan baru, LinkEzaa menjawab, “Secara jujurnya, saya berasa amat malu pada peringkat awal sesi perkenalan. Kurang bercakap dan bertegur sapa dengan ahli pasukan namun mula membina hubungan bersama ahli pasukan lain dan corak permainan kami sebagai satu pasukan mula menjadi makin kemas dan teratur. Saya banyak belajar benda baru selepas masuk ke Team Caracal,” katanya.

LinkEzaa juga sudah bersedia dalam menghadapi cabaran di MPL MY musim ke-9.

“Saya bangun awal, solat di awal waktu dan juga datang membuat latihan di awal pagi. Kami selalu membuat latihan selama 12 jam sehari untuk mengukuhkan lagi hubungan di antara pasukan dan corak permainan kami itu sendiri. Saya berasa lebih yakin dengan diri sendiri ketika ini dan MPL MY musim ke-9 bakal menjadi batu loncatan saya di dalam karier saya sebagai pemain profesional yang baru,” katanya.

HERO POOL

Di musim yang lepas, kita dapat lihat LinkEzaa kerap menggunakan hero seperti Aulus, Alucard dan Bane. Ketiga-tiga hero fighter ini sangat kuat di dalam tangan LinkEzaa di mana dia berjaya mendapat gelaran MVP di minggu kedua dan keempat di musim lepas.

Ketika ditanya adakah penonton dan peminat akan dapat melihat hero baru atau assassin yang bakal digunakan olehnya, “Lihat sahaja di musim liga nanti, hero pool saya sudah semakin bertambah berkat tunjuk ajar dari jurulatih dan juga ahli pasukan. Mereka kerap memberikan tips dan semangat untuk terus belajar hero baru,” katanya.

HUBUNGAN DI ANTARA PASUKAN

Team Caracal mementingkan semangat persahabatan di kalangan ahli pasukan, ikatan sillaturahim itu menjadi elemen penting di dalam pasukan. LinkEzaa menyatakan nilai murni yang dimaksudkan itu, “Selepas tamatnya sesi latihan bersama ahli pasukan, kami akan keluar melepak bersama-sama. Di sini, kami mengamalkan prinsip jika setengah ahli pasukan keluar lepak, yang lain harus turut serta untuk merapatkan lagi hubungan sesama pasukan. Kami akan menonton filem di panggung wayang, makan di restoran dan juga bermain magic chess bersama-sama,” ucap LinkEzaa.

IDOLA LINKEZAA

Idola LinkEzaa, Kuja.

“Idola saya adalah tidak lain tidak bukan, Kuja. Dia adalah pemain yang sangat hebat ketika dahulu dan terus menjadi jurulatih tidak beberapa lama kemudian. Dia juga adalah seorang yang suka berjenaka dan sering memberikan nasihat dan tips dalam Land of Dawn.

“Saya percaya Kuja mampu membawa pasukan kami untuk memenangi MPL MY musim ke-9. Saya juga yakin dengan diri saya sebagai pemain underdog yang mampu menjadi jaguh dan setaraf dengan pemain veteran yang lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Foto: Team Caracal

RELATED NEWS

+