Nur Aisyah Khaliesha (Sushi) sahut cabaran menguruskan pasukan HomeBois MLBB

Pengurus pasukan e-sukan kebanyakannya lelaki. Namun, ia bukan penghalang bagi Nur Aisyah Khaliesha Ishak ataupun mesra dikenali sebagai Sushi menyahut cabaran sebagai Pengurus Pasukan HomeBois MLBB yang baharu.

Ujar gadis berusia 21 tahun ini, menyertai HomeBois sebagai pengurus adalah satu pengalaman menarik buatnya.

“Ini adalah kali pertama saya menguruskan pasukan e-sukan yang terkenal.

“Mula-mulanya mencabar namun dengan pertolongan dari HomeBois, mereka banyak membantu saya dan memberikan tunjuk ajar dalam pengurusan.

“Saya sendiri tak letakkan jangkaan tapi bagi saya pasukan baru bermakna banyak pengalaman dan stail baru saya akan belajar,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Anak muda yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini juga mengatakan dia banyak meluangkan masa bermain Mobile Legends bersama pemain HomeBois.

“Biasanya kami akan main MLBB bersama dan lepak makan untuk eratkan silaturrahim tapi kebanyakan masa mereka diluangkan bagi latihan dan scrims untuk menaik taraf gaya permainan.

“Sekarang saya banyak tolong menguruskan jadual tidur mereka kerana mereka perlu bangun awal untuk memulakan latihan.

“Walaupun saya seorang introvert tapi mereka semua ramah. Saya selesa dan ‘sekepala’ bila lepak bersama mereka,” katanya yang pernah bermain kompetitif sebelum ini.

Sushi yang juga seorang streamer dan cosplayer juga mempunyai nasihat kepada wanita di luar sana untuk terus berjaya dalam e-sukan.

“Anda tak perlu takut mengambil risiko dan peluang. Ia akan menjadi sukar kerana industri ini didominasi lelaki tapi ia akan berbaloi apabila anda dah mula menemui rentak. 

“Percaya, yakin dan anda akan berjaya menggapainya,” katanya yang gemar menonton anime pada waktu lapang.

MPL MY musim kesepuluh akan memulakan musim liganya pada 5 Ogos ini.

HomeBois memperkenalkan beberapa pemain baru antaranya Ombong Haha, Xpdea dan Makdi pada musim kali ini manakala Saiful pula menjadi jurulatih.

 
 
 
View this post on Instagram

A post shared by MPL Malaysia (@mplmy.official)

RELATED NEWS

+