[OPINION] Adakah Todak perlu merombak barisan pemain mereka?

Selepas mengalami kekecewaan di beberapa kejohanan antarabangsa, adakah pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Todak perlu melakukan satu rombakan dalam barisan pemain mereka?

Todak merupakan antara pasukan yang sering mewakili negara namun gagal untuk ‘melepasi’ pencapaian terbaik mereka iaitu tempat ketiga di M1.

Ramai peminat tidak meletakkan harapan kepada pasukan itu di kejohanan Piala Asia Tenggara MLBB (MSC) 2023 baru-baru ini walaupun menunjukkan prestasi yang baik ketika di Liga Profesional MLBB  (MPL) Malaysia musim ke-11.

Istilah “Juara Kampung” sering digunakan apabila peminat menganalisis prestasi pasukan ini kerana di pentas Malaysia, Todak merupakan antara pasukan terkuat di Malaysia.

Namun, setiap kali Todak bertemu dengan pasukan gergasi daripada negara Indonesia ataupun Filipina, mereka dikalahkan dengan mudah.

Dalam perlawanan di antara Blacklist International dan ECHO, Todak nampak seperti sukar untuk menandingi mekanik serta corak permainan pasukan-pasukan itu.

Blacklist International dan ECHO memegang perlawanan daripada minit satu sehingga tamat perlawanan dan skor kematian (kill) dilihat mempunyai jurang yang besar seperti 13-3 dan 18-1.

Timbul persoalan di mana pasukan ini sepatutnya merombak barisan pemain mereka ataupun membawa masuk jurulatih yang boleh mengubah Todak.

Kita dapat melihat dengan kemasukan Dale ke Homebois dapat mengubah pasukan itu sehingga mencapai tempat ketiga di MPL Malaysia musim ke-11.

Apabila Behave meninggalkan Todak sebelum MSC 2023 berlangsung, ia mengejutkan ramai pihak yang menganggap bahawa Todak bermain dengan sangat baik dibawah kendaliannya.

Perlukah Todak membawa masuk pemain import yang berpengalaman seperti Justin ataupun Albert yang tidak mempunyai pasukan buat masa ini ke dalam skuad mereka?

Dinamik dalam pasukan semestinya akan berubah dengan kemasukan pemain import baharu yang semestinya akan memberi impak besar kepada pasukan Todak.

Mungkin sudah sampai masanya pemain seperti CikuGais ataupun Moon untuk duduk di tepi dan berikan tunjuk ajar kepada pemain baharu.

M5 menjadi kejohanan antarabangsa terakhir untuk Todak mencapai kejayaan kerana jika mereka mengulangi skrip sama di pentas antarabangsa, sudah semestinya komuniti MLBB Malaysia akan penat dengan Todak.

Pelbagai alasan boleh dilontarkan tetapi peminat hanya mahu melihat keputusan Todak, bukannya usaha ataupun faktor-faktor lain.

Negara lain kini bertambah baik dalam pentas kompetitif namun semakin lama Malaysia seperti ketinggalan berbanding negara lain.

Kehilangan satu slot tetap untuk Malaysia membuka mata ramai bahawa Malaysia tidaklah sekuat Filipina dan Indonesia.

Akhir sekali, Todak masih mempunyai masa untuk memperbaiki prestasi mereka dan cuba menghilangkan label “Juara Kampung” yang sering menjadi ‘bayang-bayang’ mereka.

Bolehkah Todak bangkit dan membanggakan negara di pentas dunia sekali lagi seperti di M1?

RELATED NEWS

+