“Abang (Luqman), abang buat yang terbaik. Kalau ada peluang tu, grab dulu. Bukan senang nak dapat,” Itulah kata-kata semangat dilontarkan ibu kepada pemain FIFA di bawah Gamesbond, Muhammad Luqman Haziq Hajiman, 22 yang berada dalam kelas tersendiri apabila layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) 2019.
Ibunya, Muhayon Mashodi, 53 memberi galakan kepada anaknya itu walaupun tahu Luqman sedang menghadapi peperiksaan akhir.
“Saya faham game kali ini agak mencabar berbanding FIFA sebelumnya. Sebagai ibu sudah tentu saya nak dia berjaya. Memang rezeki dia minggu lepas apabila berjaya mengalahkan pemain dari Hong Kong.
“Sebenarnya saya nampak kesungguhan dan struggle dia untuk sampai ke peringkat ini. Lagi-lagi dia sedang hadapi peperiksaan akhir tapi saya kenal dia, kalau dia boleh seimbangkan pelajaran dengan main game, tiada apa yang mustahil.
“Sebagai pendidik, saya memang nak dia tumpu pada belajar tapi dia tak pernah abaikan pelajaran. Luqman ada cakap dekat saya, dia taknak bagi harapan. Sebab itu saya cakap cuba saja yang terbaik dan Alhamdulillah dia berjaya,” katanya.
Beliau menambah Luqman atau lebih senang dikenali sebagai Fenrir bakal meneruskan latihan industri bermula bulan depan dan akan memberi sokongan berterusan kepadanya.
“Bulan Februari dia dah mula latihan industri (praktikal) dan jurusan kewangan memang mencabar. Jadi saya sangat berharap kalau dia boleh buat yang terbaik sebelum ke sana walaupun agak mustahil untuk fokus pada kedua-duanya (main game dan kerja) sekali gus,”
Bercerita pasal Luqman pula, pemain muda ini berjaya mencatatkan rekod kemenangan 27 menang dari 30 perlawanan untuk mendapat pengiktirafan FUT (6 pemain Malaysia turut diiktiraf sama) dan memasuki pusingan kelayakan.
Dalam pertarungan dengan 37 pemain lain di seluruh Asia pada minggu lepas, Fenrir berjaya merebut slot ke Singapura pada Mac ini.
Ini adalah kali kedua Fenrir berjaya ke FEWC, kali pertama adalah di Barcelona, Sepanyol pada 26 dan 27 Januari 2018.
Mengikut format terbaru dari EA Sports, lebih ramai pemain dari kontinen Asia terutamanya dapat melayakkan diri ke kejohanan FIFA eWorld Cup (FEWC).
Pada tahun lepas, juara dirangkul pemain Arab Saudi, Mosaad Aldossary yang berjaya merebut sebahagian dari RM1.6 juta keseluruhan prize pool.