Penggiat e-sukan Malaysia Tiffani Lim dilantik sebagai ketua Jawatankuasa Atlet IESF

Tiffani “Oling” Lim telah dilantik oleh International Esports Federation (IESF) untuk mengetuai Jawatankuasa Atlet persekutuan tersebut. Selain daripada menjadi seorang pempengaruh DOTA 2 di Malaysia dan Asia Tenggara, beliau juga merupakan Ketua Pemasasran & Perhubungan Awam di Battle Arena Malaysia.

Tujuan utama jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk melindungi kepentingan pemain-pemain e-sukan. Pada waktu yang sama, mereka juga ingin mengekalkan kerjasama bersama para pemain agar dapat memahami isu-isu yang dialami oleh golongan tersebut.

“Gelaran “pemain e-sukan” kini membawa maksud yang sangat berbeza berbanding 10 tahun yang lalu. Walaubagaimanapun, masih terdapat banyak masalah berkenaan hak-hak pemain seperti pihak penganjur tidak membayar hadiah kemenangan dan pemain menandatangani kontrak yang tidak adil,” kata Tiffani.

“Sebagai bekas pemain dan pemain aktif kompetitif, kami telah menghadapi masalah-masalah sebegini. Oleh itu, kami boleh berkongsi pengalaman kami agar pemain-pemain lain tidak perlu menghadapi masalah yang sama. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menyediakan platform yang selamat untuk pemain meminta bantuan daripada kami.”

Jawatankuasa atlet ini juga dianggotai oleh tiga penggiat e-sukan dari negara lain:

  • Pedro “barboza” Barbosa, pemain eFootball PES pasukan Arsenal dari Portugal. Beliau juga memikul tanggungjawab sebagai penyelaras Athletes Commission di Portuguese Esports Federation sejak tahun 2020.
  • Simona “Monny” Ivanovska, ahli psikologi dari Makedonia Utara dan penyelaras pembangunan di Macedonian Esports Federation sejak tahun 2020.
  • Freddy “Zubscop” Mazila, pemain Tekken dari Namibia yang pernah menjadi juara permainan tersebut selama tiga tahun berturut-turut.

Sejak Jawatankuasa Atlet ini ditubuhkan, mereka berusaha untuk mencipta dan mengedarkan templat kontrak standard untuk rujukan organisasi dan pemain e-sukan. Mereka juga mengadakan pelbagai bengkel pendidikan bagi mendedahkan para pemain tentang hak-hak mereka dan cara-cara untuk mendapatkan bantuan.

Sumber: GoSports

Foto: Laman Facebook Tiffani “Oling” Lim

RELATED NEWS

+