‘Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) Akan Dibentuk Semula,’ – Saddiq

“Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) masih lagi tidak stabil dan kami akan membentuk semula persatuan ini,” itu kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan.

Ini berikutan ada isu berkaitan persatuan itu yang disuarakan oleh ramai pihak dan masih belum diselesaikan lagi. Malah, kepercayaan terhadap persatuan ini turut dipersoal.

Syed Saddiq (dua dari kanan) menghadiri sidang akhbar di Axiata Arena, Bukit Jalil sempena The Kuala Lumpur Major

Menurut Saddiq, apabila persatuan ini dibentuk semula, maka mudahlah bagi segala isu berkaitan esports disalurkan kepada KBS dan tindakan susulan boleh diambil.

“Kalau tidak, ia akan jadi case by case dan susah untuk tangani. Kalau tiada uproar (keluhan) di media sosial, saya takkan tahu.

“Kita ada beratus malah beribu atlit esports di Malaysia dan kita ada satu saluran untuk mereka rujuk iaitu ESM. Apabila ia sudah dibentuk semula, maka mudah untuk kami menangani isu dihadapi pemain,” katanya dalam satu sidang akhbar di The Kuala Lumpur Major di Axiata Arena, hari ini.

Saddiq juga menjawab berkenaan peristiwa pada minggu lepas yang mana satu kejohanan esports tidak dianjurkan dengan baik dan menerima kecaman dari komuniti dan pemain industri.

“Jika mereka ingin adakan acara besar begini lagi, kami pastinya akan tangguhkan dulu.

“Ini bagi memastikan acara esports dapat dianjurkan dengan teratur kerana nama Malaysia yang dibabitkan sekali dalam hal ini.

“Kami akan pastikan ia takkan berlaku lagi,” katanya.

Sumber gambar: The Star

RELATED NEWS

+