PMCO: ‘Masih Ada Tanggapan Negatif Terhadap Pengulas Wanita’ – ChuChu Gaming

Pengulas e-sukan wanita masih mendapat kritikan yang tidak membina malah ada yang mempersendakan pakaian serta cara mereka menyampaikan ulasan. Itu yang berlaku kepada Andriyana Mohd Ghazali atau lebih dikenali sebagai ChuChu Gaming.

Beliau kini mengulas dalam Bahasa Inggeris untuk liga PUBG Mobile Club Open (PMCO) Musim Bunga yang berlangsung di Shanghai, China. ChuChu berkata, walaupun berkorban untuk bangun pagi dan mengadakan ulangkaji untuk permainan pada hari itu, beliau masih menerima kritikan daripada netizen.

“Formal salah dikatakan bosan, santai pula dikatakan wanita ini bodoh. Kadang-kadang itu penat sangat tapi banyak maklumat di kepala sehingga tersasul, lumrah manusia ada buat silap.

“Soal jantina juga dijadikan isu, tudung di kepala dipermainkan, baju yang sopan diherdik. Tapi saya tahan, fikirkan nak bawa nilai baik untuk kesedaran orang luar sana bahawa game (PUBG Mobile) ini bukanlah sesuatu yang buruk.

“Nak majukan industri e-sukan negara, yakinkan kita boleh jadikan kerjaya dalam bidang ini dengan menjadi diri sendiri tapi ada yang kata ‘Chu bukalah tudung, boleh pergi jauh’ tapi itu pegangan saya. Ada juga yang suruh pakai fit sikit tapi saya tetap dengan pendirian (berpakaian sopan dan menutup aurat) begini,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Artikel berkaitan: 5 pengulas PMCO di Shanghai, China

ChuChu mengulas bersama Terence. Gambar: FB Chuchu Gaming

Beliau juga menambah, kritikan diterima banyak daripada netizen yang rata-rata berkata-kata tidak baik.

“Tapi apa yang saya dapat? Herdikan, makian yang mencurah-curah lagi. Ibu, ayah, keluarga, kawan-kawan yang kenal saya terkejut apabila mereka baca komen terhadap saya sehingga timbul persepsi gaming ini bawa lebih banyak keburukan dari kebaikan.

“Teruk orang yang main game ini, itu mereka kata apabila membaca komen. Anda sendiri yang menjatuhkan industri ini tapi ingin mak, ayah dan kelurga menyokong dengan sifat negatif sebegitu. Kenapa buat macam itu? Banyak lagi cara teguran lain boleh digunakan, yang lebih positif.

“Saya juga manusia. Saya boleh jadi doktor dan bekerja dalam bidang lain tapi saya tetap pilih pengulasan e-sukan sebab saya tahu, setiap hari diberi peluang untuk perbaiki kesilapan. Tapi kali ini mungkin dah tak mampu,” katanya lagi.

Akhir sekali, ChuChu berkata yang kesihatan fizikalnya terjejas begitu juga dengan mental.

“Siapa yang rapat dengan saya, tahulah betapa teruknya keadaan saya sekarang.

“Terima kasih yang menyokong dan yang menjatuhkan. Kali ini anda berjaya jatuhkan seorang lagi manusia yang cuba mencari rezeki halal. Hanya dengan kata-kata, mampu ‘tutup’ masa depan orang lain.

“Berusaha keras macam mana sekalipun mesti ada yang benci. Mungkin dah sampai masa untuk undur diri,” katanya.

Selain ChuChu, netizen juga tak henti menghentam Yakuza iaitu ahli Victorious In Play (VIP) yang juga salah satu pasukan bertanding dalam liga ini. Rata-rata mereka memberi komen sinis dan negatif di livestream Facebook rasmi PUBG Mobile mengatakan Yakuza hanya hebat bermain menggunakan tablet dari Apple malah ada yang menyebut VIP tidak layak berada di sana untuk bertanding.

RELATED NEWS

+