PMCO: ‘Mereka Dah Macam Keluarga Saya Di Shanghai, China’ – Bunny

Menjadi penterjemah di luar negara? Ia bukanlah kerjaya popular namun bagi pemilik nama Yap Si Err, peluang ini jarang ada dan ia membuka perspektif begitu meluas bagi usianya yang masih hijau.

Dari kacamata gadis ayu berusia 22 tahun ini, kerjaya sebagai penterjemah adalah peluang untuknya mengenali dunia e-sukan yang pada dirinya adalah sesuatu yang asing.

“Saya masih ingat ada senior yang syorkan kerjaya ini di Shanghai, China. Saya menerima tawaran itu menerusi We Chat dan mendapat kerja itu (sebagai seorang intern).

“Ia adalah satu cabaran bagi saya kerana saya perlu menjadi penterjemah (Mandarin – Bahasa Melayu) sepenuh masa untuk liga Asia Tenggara PMCO dan berulang alik ke kolej untuk kelas dan menyiapkan tugasan kalau tiada pertandingan pada Isnin dan Selasa,” katanya yang mengambil jurusan Bahasa China dan Kesusasteraan.

Dia yang juga dikenali ramai sebagai Bunny berkata, sebelum ini dia tak mempunyai pengetahuan khusus dalam e-sukan (PUBG Mobile) dan bersyukur dapat ditemukan bersama pemain-pemain Malaysia yang bertanding.

“Selepas mengenali mereka, banyak yang saya belajar dan ambil tahu.

“Tapi saya juga suka membaca berita dan belajar topik berbeza jadi pengetahuan dalam e-sukan ini hanya untuk permainan popular sekian lama seperti Dota 2 dan League of Legends,” katanya.

 

Cabaran utama

Bunny (berdiri, tiga dari kanan) sama-sama memeriahkan perayaan Aidilfitri di perantauan.

Apa yang menjadi cabaran untuknya adalah menyesuaikan diri bersama pemain kerana mereka mempunyai pelbagai ragam yang berbeza.

“Pada awalnya memang saya tak kenal pemain dan pasukan ini. Mereka juga mempunyai banyak persoalan mengenai pertandingan dan saya kurang arif akan soal itu.

“Walaupun saya pernah tengok kawan saya main PUBG Mobile, saya perlukan masa untuk biasakan diri dan faham,” katanya.

Menurut Bunny, dia pernah dihujani pelbagai soalan seperti “Macam mana nak beli kad sim,”, “Di mana restoran halal,”, “Dekat mana nak tukar duit,”, “Bunny, boleh tolong belikan Pizza? selain perlu membantu pemain berkomunikasi dengan penganjur.

Kata Bunny, perkara yang paling menarik tentang penterjamahan ialah dia mengetahui batas kemahirannya.

“Banyak yang saya boleh belajar lagi terutamanya dari segi tatabahasa dan kosa kata jadi saya teruskan berlatih. Berpeluang untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu di China adalah pengalaman yang tak dapat saya lupa,” katanya.

Bercerita mengenai rutin hariannya, Bunny berkata, harinya dimulakan dengan membawa komputer riba dan buku ke lokasi pertandingan.

“Ketika pertandingan bermula, saya akan baca buku dan siapkan tugasan (assignments). Selepas game selesai, kalau ada masa dan tenaga, saya akan siapkan tugasan di hotel pula.

“Setiap hari Isnin dan Selasa (cuti), saya akan ke universiti untuk menghadiri kuliah.

“Untuk pelajaran, saya letakkan deadlines dan matlamat untuk memastikan ia dapat disiapkan. Bagi kerja pula, saya akan ada di sana untuk menterjemah (soalan pemain kepada penganjur) jika diperlukan,” katanya.

 

Lakar memori bersama pemain

Bersama OTG, Jimboy, Pepper dan Chuchu

Selama lima minggu berada di Shanghai, China, gadis ini akui banyak kenangan tak dapat dilupakan.

“Saya nak ingat setiap saat dan setiap minit berada di sini. Saya suka menambah kenalan dan bercakap dengan semua orang.

“Kenangan paling tak dapat lupa ialah kami (bersama pemain) pergi makan malam dan lepak selepas tamat perlawanan. Bukan saja pemain tapi juga pengulas.

“Terima kasih kerana berkongsi macam-macam perkara tentang e-sukan dan topik-topik lain yang membuka mata saya,” katanya.

Katanya lagi, pengalaman paling berharga ialah sewaktu pengulas OnTheGo (OTG) ‘membelanjakan’ Chicken Dinner di KFC. 

“Lebih daripada 20 orang menyambut kemenangan skuad Malaysia dapat Winner Winner Chicken Dinner. Memang saya tak dapat lupa pengalaman unik dan menarik ini di China, dikelilingi rakan-rakan dari tanah air. Setiap hari saya rasa seperti di Malaysia!

“Satu saja saya nak cakap kepada semua pemain kita. Saya akan sentiasa ada di sini kalau anda perlukan saya. Terima kasih atas pertolongan dan kepercayaan. All the best kepada semua!,” katanya.

 

Ingin keluar dari zon selesa

Bunny bergambar kenangan bersama pemain dan pengulas dari Malaysia

Bunny berkata, kerjaya sebagai penterjemah bukanlah end goal tapi ia hanya sebagai pengalaman baru untuknya.

“Saya ingin buat lebih daripada itu. Saya nak bantu negara dan tolong orang dalam kesusahan. Saya rasa puas hati kalau diperlukan.

“Mungkin sekarang saya tak tahu lagi hala tuju pasti tapi saya akan cuba teroka lebih banyak bidang dan pilih mana yang kena dengan jiwa.

“Tinggal setahun lagi untuk habis belajar dan banyak benda boleh berubah dalam jangka masa ini. Ada peluang, saya akan ambil saja dan kemudian selaraskan matlamat saya untuk masa depan,” katanya.

Ditanya cabaran tinggal di negara Asia ini, kata Bunny, bukanlah mudah bekerja dan hidup di Shanghai. Banyak syarikat yang mengalami jatuh bangun dalam jangka masa pendek. 

“Apa yang saya belajar ialah setiap orang ada persepsi mereka sendiri dan ini membuatkan saya teruja belajar perkara baru, jadi lebih rendah diri dan bertolak ansur.

“Dari segi pengalaman belajar, di sini persaingan sangat kompetitif dan saya sukakan suasana begitu,” katanya.

—–

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+