Review: ASUS ROG Phone 2 – Berbaloi Ke Beli Telefon Khas Dibina Untuk Gaming?

Kini, semakin ramai orang bermain menggunakan telefon pintar kerana ia mudah dan menyeronokkan di hujung jari korang. Kewujudan pasaran game mobile ini mendorong banyak syarikat teknologi mencipta telefon pintar gaming menepati citarasa pemain.

ASUS Republic of Gamers (ROG) kembali dengan telefon pintar utama mereka, ASUS ROG Phone 2 akhirnya rasmi diumumkan pada hari ini (16 Oktober 2019). Edisi kedua ROG Phone tampil dengan banyak peningkatan berbanding ASUS ROG Phone 1.

Mampukah ASUS ROG Phone 2 jadi tanda aras dalam kebanjiran telefon pintar gaming masa kini? Jom baca review kami.

Rekaan keseluruhan

Kotak prisma mengandungi ASUS ROG Phone 2, ASUS AeroActive Cooler, kabel USB Type-C dan bekas telefon

Sekilas pandang, ASUS ROG Phone 2 ternyata menawan dengan logo ROG yang menyala-yala dengan warna RGB sekaligus menghasilkan efek pasti membuatkan orang lain terkesima dengan cahaya terpancar di bahagian belakang telefon.

Kalau korang letakkan aksesori tambahan ASUS AeroActive Cooler II di belakang, korang boleh lihat RGB ‘bernafas’ menembusi aksesori ini malah korang boleh mengubahsuai bagaimana RGB dizahirkan mengikut citarasa melalui aplikasi X Mode (logo ROG). 

ASUS ROG 2 agak berat berbanding telefon gaming lain dengan rekaan panel kaca. Telefon pintar ini juga mempunyai headphone jack dan punat USB Type-C untuk mengecas telefon bateri bersaiz besar.

Punat pengecas dan headphone tambahan

Apa yang menyeronokkan tentang ASUS ROG Phone 2 ini, terdapat lagi satu punat lain untuk mengecas telefon iaitu terletak di bahagian kiri telefon jika korang memasang ASUS AeroActive Cooler II. Ini memudahkan pengguna bermain game kerana kebanyakkan game mempunyai paparan melintang.

Apa yang tak seronok adalah terdapat satu punat getah yang melindugi punat tambahan untuk cas dan headphone jack. Ia agak menyusahkan dan mendebarkan untuk mengeluarkannya tetapi ASUS sudah bersiap sedia dengan menyediakan beberapa punat getah gantian yang tersimpan dalam kotak telefon sekiranya pengguna menghilang punat getah kecil itu.

Paparan skrin & pembesar suara

Paparan menu utama bertukar apabila mod X dibuka

Paparan ASUS ROG 2 cukup besar dengan panel skrin AMOLED 10-bit HDR berukuran 6.59 inci yang mempunyai kadar penyegaran (refresh rate) 120Hz/1ms iaitu satu peningkatan mendadak berbanding ASUS ROG Phone 1

Untuk makluman korang, ASUS ROG Phone 2 menggunakan OS Android Pie. Kami berasa keliru lihat antaramuka pengguna (user interface) baru ASUS ROG Phone 2 kerana ia adalah kurang mesra pengguna kerana kebanyakkan aplikasi disorok di bahagian lain dan seolah-olah mahu mengikut gaya UI sistem iOS. Untuk melihat keseluruhan menu telefon pintar ini, korang perlu swipe dari bawah ke atas. Agak leceh di situ.

Pembesar suara pula terletak di bahagian hadapan telefon pintar. Melalui cara ini, bunyi tidak dihalang oleh tapak tangan pengguna sambil bermain game atau menonton video.

Prestasi grafik & sistem penyejukan 

ASUS ROG 2 mungkin berkongsi pemprosesan Snapdragon 855 dengan telefon flagship lain bersama 12GB RAM tetapi kelajuan cip 2.9GHz dengan sokongan Adreno 640 GPU menghasilkan grafik cemerlang yang membolehkan korang set grafik Mobile Legends ke tetapan ultimate tanpa merasai lag.

Dari segi prestasi permainan, ia sangat lancar lebih-lebih lagi main game yang memerlukan ketepatan seperti PUBG Mobile atau COD Mobile kerana skrin ASUS ROG Phone 2 membaca input touch latency dalam 49 m/s.

Lazimnya kalau korang main game mobile, korang mesti risau telefon akan jadi terlalu panas sehingga mengganggu konsentrasi pengguna. ASUS mempertingkatkan lagi sistem penyejukan, GameCool II dengan rekaan 3D ruang wap (vapor chamber) yang korang boleh lihat di belakang telefon yang mana mengeluarkan haba. Sepanjang pengalaman kami bermain, sistem penyejukkan ini amat membantu dan memberi keselesaan kepada kami untuk teruskan bermain. 

Korang juga boleh pasangkan AeroActive Cooler II yang didatangkan bersama dalam kotak telefon bagi mengeluarkan haba di bahagian tepi tanpa bunyi bilah kipas yang kuat. Oleh kerana ia mengeluarkan haba bukan di bahagian tengah, tangan mudah berpeluh iaitu masalah yang sama berlaku dalam ASUS ROG pertama. Bagi pendapat kami, korang boleh sahaja bermain game tanpa memerlukan AeroActive Cooler II ini tetapi kalau nak cuba-cuba, apa salahnya.

Bateri

ASUS ROG Phone 2 mempunyai kapasiti bateri tinggi iaitu sebanyak 6000mAh. Ini sangat memuaskan untuk telefon pintar berprestasi tinggi.

Kadar caj juga sangat pantas dengan menggunakan pengecas khas ROG HyperCharge dan kabel USB Type-C iaitu 4000mAh dicaj dalam jangka masa 1 jam. Korang boleh main PUBG Mobile terus selama 7 jam dengan mudah dan ia cukup untuk penggunaan seharian. 

Kamera

Kamera ASUS ROG Phone 1 amat mengecewakan dan ASUS belajar dari kesilapan ini. Kali ini, ASUS ROG Phone 2 didatangkan dengan kamera dwi belakang 48MP + 13MP yang boleh mengambil gambar dengan kualiti lebih baik.

ASUS juga mengambil kira kepada mereka yang suka menyiar langsung permainan dan berinteraksi bersama penonton. ASUS POG Phone 2 juga mempunyai kamera hadapan 24MP terletak di posisi bahagian kanan telefon yang tidak dihalang oleh tangan pengguna. Tak kiralah sama ada korang ini streamer ataupun tak, kualiti selfie menggunakan telefon ini elok juga.

Pengalaman gaming pelbagai cara

ASUS menyambung kembali AirTrigger iaitu komponen butang sentuh yang membolehkan korang memeta kawalan kiri dan kanan gaming dalam mod landskap seperti konsol handheld tetapi apa yang berbeza adalah AirTrigger ini bukan butang fizikal yang timbul di telefon.

AirTrigger juga mempunyai dua fungsi baru iaitu tap dan slide serta sensasi gegar untuk tindakbalas sama seperti controller konsol. Melalui AirTrigger ini, ruang skrin korang jadi lebih luas dan tidak perlu mengeluarkan duit untuk beli kawalan tambahan.

TwinView Dock II berharga RM899

Namun, sayangnya kami tidak dapat mencuba beberapa aksesori tambahan seperti TwinView Dock II iaitu sebuah aksesori dengan skrin tambahan sama seperti Nintendo 3DS. Aksesori ini dibina dengan kipas tambahan dan bateri tambahan 5000mAh yang mana ia sangat sesuai untuk livestream kerana mempunyai dua skrin.

Kalau TwinView Dock II seperti bermain Nintendo 3DS, korang boleh tukar ASUS ROG Phone 2 jadi Nintendo Switch dengan ROG Kunai Gamepad. Selain itu, korang boleh menyambung game ke komputer dengan ROG WiGig Display Dock Plus dan Mobile Desktop Dock. Oleh itu, kami tidak boleh memberi ulasan tentang aksesori ini jika ia diperlukan untuk korang.

ROG Kunai Gamepad bernilai RM499

Kesimpulan

Banyak peningkatan kita boleh lihat dalam ASUS ROG Phone 2 terutamanya dari segi skrin, bateri, kamera, penyimpanan dan banyak lagi. Apa yang saya paling terkejut tentang ASUS ROG Phone 2, kamera telefon pintar ini boleh menandingi beberapa telefon pintar terhangat di pasaran. 

Korang boleh lihat spesifikasi telefon pintar ini berbanding modal telefon dipasarkan di China di bawah:

Syarikat ini juga mahu memberikan pelbagai cara permainan yang menyeronokkan seperti bermain di laptop ataupun konsol tetapi ini cuma boleh direalisasikan jika korang ada beli aksesori-aksesori tambahan ini. 

ASUS ROG Phone 2 12GB RAM/512GB berharga RM3,499 manakala versi 12GB/1TB bernilai RM4,499 yang akan dilancarkan pada bulan hadapan.

Korang juga boleh memiliki kesemua aksesori tambahan ASUS ROG Phone 2 bersama telefon pintar dengan harga berpatutan iaitu sebanyak RM6,999. Pembelian Super Pack ASUS ROG Phone 2 ini boleh didapatkan khas melalui Lazada bakal tiba pada bulan November.

RELATED NEWS

+