ASUS ROG atau Razer Phone 2 tetapi bagaimana pula prestasi bermain game bagi penggemar iPhone?"> ASUS ROG atau Razer Phone 2 tetapi bagaimana pula prestasi bermain game bagi penggemar iPhone?" /> ASUS ROG atau Razer Phone 2 tetapi bagaimana pula prestasi bermain game bagi penggemar iPhone?" />

Review: iPhone XR – Berbaloi Ke Untuk Mobile Gamers?

Apabila kita berbicara tentang telefon pintar direka untuk mobile gamers, korang mesti terbayang ASUS ROG atau Razer Phone 2 tetapi bagaimana pula prestasi bermain game bagi penggemar iPhone?

Jom kita kupas apa yang seronok dan apa yang kurang menarik tentang iPhone XR dari segi prestasi keseluruhan, grafik, keupayaan bateri dan harga.

Main game bergrafik tinggi tanpa masalah

Asphalt 9 dalam iPhone XR

Model iPhone XR terbaru ini mempamerkan prestasi keseluruhan yang memuaskan meskipun spesifikasinya lebih rendah berbanding iPhone XS dan XS Max.

Bermain game semestinya gempak berbanding keluaran telefon Android yang dipasarkan khas untuk gaming lain kerana iPhone XR menggunakan cip pemprosesan A12. 

Cip A12 ini membolehkan korang main game yang memerlukan grafik dan prestasi berkuasa tinggi seperti Asphalt 9 atau PUBG Mobile. Game lumba Asphalt 9 boleh bermain dalam 60 fps dengan lancar tanpa masalah.

Walaupun iPhone XR tidak mempunyai paparan OLED seperti XS dan XS Max, paparan LCD (atau Apple namakan sebagai Liquid Display) berukuran 6.1 inci memperlihatkan grafik game yang mantap dengan kadar penyegaran 60 hz sahaja dan ia tidaklah sepantas berbanding Razer Phone 2 dengan kadar 120 hz.

Rekaan lengkung iPhone XR mempamerkan penampilan yang menawan ditambah pula dengan warna merah terang yang membuatkan saya rasa ia lebih cantik daripada diletakkan dalam casing. iPhone XR juga lebih berat dan menampilkan rekaan tebal berbanding keluaran telefon Apple terbaru tetapi rasanya tiadalah berbeza sangat dengan visual Razer Phone 2 atau iPhone XS Max.

Namun, ada sesetengah game tidak menunjukkan paparan mengikut rekaan skrin lengkung telefon ini dan membuatkan sedikit paparan game itu terpotong daripada mata pengguna seperti Auto Chess dan beberapa game lain yang mungkin tidak dioptimumkan untuk iPhone baru.

Dua pembesar suara untuk pengalaman game menyeluruh

Dengan grafik padu yang dijana oleh cip A12, pengalaman game di iPhone XR diserikan dengan bunyi “surround sound” yang dihasilkan melalui dua pembesar suara di atas dan hujung telefon pintar.

Mobile Legends: Bang Bang

Mobile Legends: Bang Bang adalah game yang sesuai untuk menggambarkan pengalaman ini. Visual tinggi mempamerkan karakter menggunakan kebolehan kepada musuh lain dan digabungkan dengan bunyi yang menandakan segala aksi dalam game ini membawakan pengalaman game yang bagus.

Selain itu, banyak lagi game bergrafik tinggi lain yang boleh mengambil kelebihan iPhone XR seperti Fortnite, Vainglory, GRID: Motorspot dan sebagainya.

Ciri-ciri menarik lain

Cip pemprosesan A12 bukan sahaja menarik untuk game yang tertera di atas tetapi ia juga satu telefon bagus untuk pengalaman game AR. Ini adalah kamera menggunakan pemprosesan sama ditambah dengan enjin neural yang boleh melakukan pembelajaran mesin (machine learning) dengan operasi 5 trilion sesaat.

Ia juga menjana kamera TrueDepth yang membolehkan penggunaan FaceID. FaceID ini boleh mengesan muka korang dan log masuk ke dalam iPhone korang tanpa perlu susah-susah menaip kata laluan dan pengesanan muka ini lebih laju berbanding iPhone X.

Dari segi kamera, ia hanya mempunyai satu lensa kamera berbanding XS dan XS Max masing-masing ada dwilensa kamera. Salah satu ciri kamera baru untuk iPhone XR adalah Portrait Mode yang memberi fokus kedalaman kepada individu dan dikaburkan di latar belakang gambar tetapi terhad untuk orang sahaja.

Ini adalah kerana kamera iPhone XR hanya mengesan manusia dan latar belakang gambar menjadi terlebih kabur jika korang mahu menangkap gambar haiwan atau objek lain. Jadi, kalau korang nak tangkap gambar kucing kesayangan, minta maaf.  

Telefon pintar ini juga mengambil gaya iPhone X iaitu tidak mempunyai butang Home di bawah skrin. Saya kena biasakan diri menggunakan isyarat skrin sesentuh seperti untuk pergi ke Home, korang kena sentuh hujung skrin dan naikkan ke atas dan untuk menukar ke aplikasi lain, korang kena sentuh hujung skrin, tarik ke atas dan tekan skrin atas beberapa saat sebelum pilihan aplikasi keluar.

Akhir kata

Menurut Apple, iPhone XR mempunyai jangka hayat bateri lebih lama berbanding XS dan XS Max serta saya boleh gunakan telefon ini seharian tanpa mengecas. Tetapi, bila korang main game, telefon ini akan jadi panas sikit dan bateri akan kurang lebih cepat.

iPhone XR bermula dengan harga RM3,599 untuk 64GB manakala XS dan XS Max masing-masing ditawarkan bermula dengan harga RM4,999 untuk 64GB

Namun, saya boleh lihat kenapa iPhone XR mempunyai jurang harga lebih rendah iaitu perbezaan sebanyak RM1,400 kerana rangka badan lebih besar, lebih berat, skrin LCD dan hanya ada satu lensa kamera sahaja.

Jika korang mahu mencuba keluaran telefon Apple terbaru yang bersaiz besar, saya mengesyorkan iPhone XR kerana ia memberikan pengalaman agak sama seperti XS dan XS Max meskipun ada beberapa kekangan yang saya nyatakan di atas. Lebih-lebih lagi, pengalaman bermain game di iPhone XR juga tidak kurang hebatnya.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+