Ruzaidi tonjol kreativiti sunting foto pasukan e-sukan tanah air

Teknologi yang kian berkembang membolehkan anak muda berkarya dengan cara berbeza. Tanpa perlu membelanjakan wang yang banyak bagi membeli kelengkapan atau PC canggih, segalanya bermula di hujung jari.

Bagi Ruzaidi Abidin, 21, dia lebih gemar menzahirkan kreativiti menerusi teknik penyuntingan foto di peranti pintar.

“Saya mula pada 2019. Ketika itu, saya banyak luang masa sunting foto yang berkaitan Marvel. Saya memang minat Marvel.

“Tapi ketika itu, teknik saya agak biasa jadi saya cuba untuk asah bakat sampailah satu ketika e-sukan mula popular,” katanya yang berasal daripada Tawau, Sabah.

Menurut Ruzaidi, kesungguhannya untuk menyunting gambar mula terlihat apabila dia mula memberi perhatian kepada pasukan e-sukan tanah air.

“Pasukan profesional seperti Team Secret terutamanya membuatkan saya terfikir idea untuk menjadi lebih kreatif. Mereka ibarat inspirasi bagi komuniti PUBGM di negara ini.

“Saya mengumpulkan gambar mereka secara individu dan kemudian sunting hingga menjadi seperti ‘wallpaper’,” katanya yang sudah menyunting foto beberapa pasukan e-sukan lain seperti RSG MY dan Geek Fam.

Ruzaidi berkata, cabaran menyunting adalah ia mengambil masa yang agak lama untuk sesebuah projek. Katanya, projek yang mudah mengambil masa sekitar lima hingga enam jam. Yang lebih sukar adakalanya melebihi lapan jam.

“Ia mengambil masa lama sebab saya perlu berhati-hati meletakkan lapisan (layer). Suntingan foto di peranti pintar juga tidak sama seperti PC yang mana di PC lebih mudah dan menyeluruh.

“Tapi saya puas hati melihat hasilnya. Ada juga yang repost dan memuji teknik yang saya gunakan,” katanya.

Ruzaidi mengetengahkan konsep foto yang lebih terarah kepada ‘anime-like’ sekali gus memberikan sentuhan berbeza kepada foto itu.

Ketika ditanya bagaimana dia memperoleh inspirasi menyunting foto, kata Ruzaidi, ia hanya berbekalkan imaginasi yang hadir ketika mendengar lagu.

“Kalau diberi peluang, saya memang berminat untuk bekerja dalam industri kreatif terutamanya e-sukan,” katanya.

Anda boleh melihat lebih banyak hasil kerja Ruzaidi di Instagram peribadi miliknya @secret.mizuu

RELATED NEWS

+