Selami Hikayat Klasik Melalui Perspektif Upin & Ipin Dalam Game Ini!

Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal The Game adalah game berbentuk aksi dan teka-teki (puzzle adventure) dibangunkan oleh Les Copaque Games Development Inc (LCGDI) dilancarkan di peranti mobile.

Sempena pelancaran filem animasi terbaru Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal pada 21 Mac, game ini mengajak pemain melawat kembali ke Kampung Durian Runtuh dan bermain sebagai Upin & Ipin untuk ketahui kisah di sebalik filem ini yang dipecahkan kepada beberapa babak.

(Terdapat sedikit spoiler untuk filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal di bawah)

Ketua pembangun game LCGDI, Mohd Alimin Hakim bin Mohd Ariff Sabri berkata game ini dihasilkan bagi memberi peluang kepada penceritaan kaya dengan cerita rakyat Malaysia yang tidak sempat diselitkan dalam filem asal berdurasi selama 90 minit.

“Sebagai contoh, permulaan filem membuka tirai di rumah Tok Dalang. Namun, khas dalam game ini, ia menerangkan beberapa perkara yang tidak dijelaskan sepenuhnya dalam filem seperti bagaimana Upin & Ipin tiba di stor ruangan bawah rumah Tok Dalang, kenapa Bawang Merah terperangkap dalam gua dan cerita-cerita tambahan untuk beberapa karakter yang wujud dalam filem seperti Mat Jenin,” jelas Alimin.

Korang boleh berjalan-jalan di sekeliling Kampung Durian Runtuh dan Inderaloka dan bertanyakan soalan

Dari segi gameplay, pengaturcara, Mohmad Shazmeel Shah bin Mohd Azeman menerangkan pemain boleh meneroka dua dunia berbeza iaitu Kampung Durian Runtuh dan Inderaloka sebagai Upin & Ipin dan menampilkan permainan fokus kepada pengembaraan kembar ikonik ini sambil diselitkan dengan penyelesaian teka-teki. 

“Terdapat sedikit elemen role-playing game (RPG) seperti pertukaran dialog, mengumpul barang dan sedikit pertempuran ringkas,” kata Shazmeel yang dikatakan mengambil inspirasi daripada game mesra kanak-kanak seperti Hercules dan Donald Duck semasa zaman PS1.

Apa yang menarik dalam game ini adalah pemain boleh kumpul barang dan tunjukkan kepada nenek Upin & Ipin, Opah supaya dia dapat menceritakan lebih terperinci tentang cerita rakyat klasik berdasarkan barangan tertentu.

Pelbagai barangan menyimpan seribu satu cerita rakyat klasik

Alimin berpendapat, “Bila kita menonton filem, ia adalah satu pengalaman pasif berbanding dengan bermain game yang menghasilkan pengalaman interaktif yang mana pemain boleh pergi dan jelajah tempat-tempat wujud dalam filem animasi ini dalam perspektif Upin & Ipin. Melalui cara ini, kita boleh memperkenalkan karakter klasik seperti Nakhoda Ragam dan Mat Jenin kepada generasi baru.”

Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal The Game yang dihasilkan oleh 13 pembangun ini telah dilancarkan serentak semasa tayangan rasmi filem animasi ini. Menurut Alimin dan Shazmeel, kebanyakan reaksi positif tertumpu kepada pengolahan dari segi filem ke game terutamanya karakter gaya chibi dan persekitaran yang mantap.

Setakat ini, prolog Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal The Game telah rasmi dikeluarkan di Android dan iOS. Babak seterusnya yang menyambung prolog ini bakal dilancarkan dalam jangka masa dua minggu dan tarikh akan diumumkan kelak.

Kredit gambar: LCGDI

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+