Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Akan Ditayangkan Di Amerika Syarikat Untuk Pencalonan Anugerah Oscars

Animasi tempatan kini setanding dengan animasi di luar negara. 

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les’ Copaque mencatat sejarah apabila berjaya disenaraikan bersama 32 filem animasi antarabangsa lain dicalonkan untuk Anugerah Oscars bagi kategori Animated Feature Film.

Antara filem animasi lain yang tercalon bersama-sama Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal adalah Toy Story 4, How to Train Your Dragon: The Hidden World, Frozen II dan banyak lagi.

Les’ Copaque berkongsi berita ini melalui akaun Instagram dan Twitter malah mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan rakyat Malaysia.

Untuk melayakkan diri ke dalam pencalonan Oscars 2020, filem ini mestilah ditayangkan di Los Angeles, Amerika Syarikat selama 7 hari. Oleh itu, Les’ Copaque berkongsi sedikit babak dalam filem ini selama 10 minit khas untuk audiens berbahasa Inggeris. Kalau nak dengar Upin & Ipin memanggil Tok Dalang dalam bahasa Inggeris, sila tonton video di bawah:

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengisahkan Upin & Ipin bersama rakan-rakan mereka tak sengaja menjumpai sebuah keris misteri iaitu Keris Siamang Tunggal dan terserap masuk ke dunia baru yang penuh dengan karakter cerita-cerita rakyat seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Bawang Merah & Bawang Putih, Si Tanggang dan banyak lagi.

Filem yang ditayangkan pada 21 Mac telah mengutip RM25 juta di Malaysia selepas ditayangkan selama tiga minggu dan berjaya memenangi anugerah Best Film Story untuk 2019 International Animation Film Festival (Animaze) di Montreal, Canada.

Les’ Copaque melancarkan sebuah game mobile sempena filem ini berjudul Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal The Game. Ia adalah game berbentuk aksi dan teka-teki (puzzle adventure) dibangunkan oleh Les Copaque Games Development Inc (LCGDI) dilancarkan di Android dan iOS.

Kami di MyGameOn rasa berbangga melihat filem animasi tempatan berjaya mendapat pencalonan untuk anugerah berprestij ini. Semoga berjaya, Les’ Copaque!

Kredit gambar utama: @MaQ_ayyum

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+