Sony, Microsoft & Nintendo Bantah Cadangan Kenaikan Tarif Konsol Video Game Kerajaan Amerika Syarikat

Sony, Microsoft dan Nintendo bergabung kuasa untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap cadangan tarif barangan import dari China oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS). Ketiga-tiga syarikat besar game menulis kepada Pejabat Wakil Perdagangan AS bahawa tarif ini boleh menjejaskan pengguna, memberi risiko tinggi terhadap peluang pekerjaan dan menghalang inovasi baru dalam industri video game.

Pentadbiran Trump telah mencadangkan tarif atau cukai terhadap barangan import berjumlah USD$300 bilion  (RM1.244 billion) untuk kesemua produk dibawa masuk dari China. Sebahagian daripada perang perdagangan antara AS dan China juga memberi impak kepada pemain kerana ia melibatkan kenaikan 25 peratus tarif terhadap konsol video game. 

Ketiga-tiga syarikat gergasi ini menghantar surat rasmi bersama-sama yang mana Kotaku melaporkan 96 peratus konsol video game diimportkan ke AS dan hampir kesemuanya dikilangkan di China kerana perkakasan yang lazim digunakan bagi membina konsol ini agak sukar untuk dikilangkan di negara lain. 

Syarikat-syarikat ini berkata, “Rantaian bekalan konsol video game telah lama wujud di China melalui pelaburan bertahun-tahun oleh syarikat dan rakan niaga kami. Ini (tarif) boleh menyebabkan gangguan rantaian bekalan untuk mengubah seluruh pembuatan ke Amerika Syarikat atau negara ketiga lain dan melibatkan kos lebih banyak daripada cadangan tarif bagi sesuatu produk yang sudah dipasarkan dalam keadaan margin yang ketat.”

Dalam surat yang sama, mereka menjelaskan, “Setiap konsol video game terdiri daripada beratus-ratus komponen kompleks yang disumber daripada pelbagai negara. Satu pertukaran dalam satu pembekal sahaja mesti diperiksa dengan teliti bagi mengawal risiko kualiti produk, ketidakpercayaan dan isu keselamatan pengguna.

“Tarif boleh mengganggu operasi niaga syarikat kami dan menambah kos banyak yang mana boleh merundumkan jualan konsol video game, game dan juga servis untuk menjana keuntungan dalam segmen pasaran ini.”

Syarikat ini tidak memberitahu berapa banyak tambahan harga yang bakal dibayar oleh pengguna apabila tarif 25 peratus ini dikuatkuasakan satu hari nanti. Namun, syarikat ini menerangkan peningkatan kos ini boleh dirasai oleh seluruh ekosistem industri terutamanya kepada syarikat besar ataupun kecil yang membuat game.

Baru-baru ini, kerajaan Amerika Syarikat melancarkan boikot terhadap barangan Huawei yang berasal dari China atas sebab persaingan dan mendakwa peranti-peranti Huawei digunakan sebagai senjata China untuk mengintip Amerika Syarikat.

Buat masa sekarang, tarif ini masih lagi belum dikuatkuasakan kerana ia masih lagi dalam rundingan. Selain bantahan daripada syarikat gergasi video game, syarikat teknologi lain seperti Apple, Intel, HP dan Dell juga sebulat suara menentang tarif yang beri kesan besar terhadap keuntungan mereka dan menjejaskan pengguna.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+