Tanpa aral melintang, industri video game dikejutkan dengan penutupan Telltale Games secara besar-besaran yang memberhentikan hampir 90% pekerjanya tanpa pampasan yang sewajarnya.
Lebih-lebih lagi, ini meletakkan beberapa game sedang dalam proses pembangunan seperti The Walking Dead: The Final Season, The Wolf Among Us 2 dan game diinspirasikan rancangan TV Netflix, Stranger Things dalam paras berbahaya.
Pelakon suara Clementine dan beberapa staf Telltale menyuarakan kerisauan mereka bahawa peminat tidak akan melihat semua keempat-empat episod The Walking Dead: The Final Season.
Hari ini, Telltale mengumumkan satu kenyataan melalui laman Twitter rasmi yang menyatakan The Walking Dead: The Final Season akan diteruskan dengan “bantuan beberapa syarikat berpotensi”.
— Telltale Games (@telltalegames) September 24, 2018
Dalam kenyataan di atas, Telltale berkata, “Beberapa syarikat menyatakan hasrat mereka untuk membantu musim terakhir The Walking Dead ini disiapkan sepenuhnya. Kami tidak dapat menjanjikan apa-apa tetapi kami sedang bekerja keras untuk satu penyelesaian untuk menyiapkan dan melancarkan episod 3 dan 4 dalam apa jua bentuk.”
Setakat ini, Telltale tidak mengumumkan syarikat yang berpotensi bakal tolong untuk menyiapkan game ini tetapi ini sedikit sebanyak memberikan sinar harapan kepada nasib The Walking Dead: The Final Season.
Episod kedua The Walking Dead: The Final Season berjudul “Suffer the Children” dilancarkan hari esok pada 26 September 2018 di PC, PS4, Xbox One dan Nintendo Switch.