The International 2018, kejohanan tahunan Dota 2 (yang juga dianggap sebagai esports dengan prize pool terbesar) baru saja berakhir pada Ahad lalu. Kejohanan dengan prize pool lebih USD25 juta itu menyaksikan skuad Eropah, OG membuat kejutan dengan menewaskan PSG.LGD di final.
Walaupun berpuas hati di tempat kedua dengan hadiah wang tunai sekitar USD4.1 juta (kira-kira RM16,803,850), Yap Jian Wei atau xNova nyata mempunyai semangat juang yang tinggi membawa nama Malaysia di persada dunia. Penulis sempat menemu bual Jian Wei untuk bertanyakan lebih lanjut tentang perjalanan kariernya selepas TI. Jom ikuti temubual ini!
1. Macam mana perasannya daripada pasukan WG.Unity yang tak berapa boleh go far selepas sekian lama dan kini bersama pasukan yang popular dan berjaya seperti PSG.LGD. Macam mana perasaannya?
Untuk skuad WG.Unity, kami sebenarnya mempamerkan persembahan yang menarik pada awalnya tapi lama kelamaan ia tak menjadi dan kami gagal untuk melayakkan diri ke majors jadi dari situlah kami buat keputusan untuk membawa haluang masing-masing.
Ketika sedang mencari skuad baru, kebetulan Ah Fu memberi cadangan untuk menyertai LGD kerana mereka sedang mencari pemain untuk melalui tempoh percubaan. Syukur ia berlalu dengan baik jadi saya secara rasminya bersama PSG.LGD.
2. Selepas korang menang ke atas Team Liquid (juara TI 7 tahun lepas) di upper bracket, apa sebenarnya peranan dan usaha yang kamu berikan kepada pasukan?
Kami sangat respect Team Liquid kerana mereka adalah salah satu pasukan pilihan dan sangat kuat. Sebagai satu pasukan, tentunya kami membuat persiapan rapi dan berada dalam satu situasi dan mentaliti yang sama untuk menang jadi itu menjadi faktor untuk kemenangan itu.
3. Apakah cabaran yang dilalui sepanjang karier ini dan ceritakan sedikit mengenainya?
Apabila saya buat keputusan untuk jadi pemain profesional Dota 2, ibu bapa, saudara mara dan kawan memang tak menyokong pada mulanya kerana mereka tak nampak masa depan yang cerah. Tapi selepas pencapaian yang membanggakan sepanjang karier, mereka mula menyokong. Sokongan mereka sangat penting kerana ia berikan saya semangat dan keyakinan dalam membuat sesuatu yang saya inginkan.
4. Apakah yang xNova rasa masih tak cukup dalam esports scene di Malaysia terutamanya Dota 2? Adakah ia berkaitan fasiliti ataupun sokongan kerajaan?
Di Malaysia kita tak mempunyai cukup platform yang baik untuk membantu pemain membina kerjaya yang kekal (e-sukan) dan menyokong mereka untuk ‘cari makan’. Tak cukup penaja dan juga peluang untuk pemain baru berkecimpung. Gaji bulanan juga agak rendah dan sukar untuk mereka terus di dalam karier ini jadi sebab itulah kita nampak ramai pemain muda berbakat menyertai pasukan di peringkat antarabangsa kerana tawaran lebih lumayan.
5. Selepas The International berakhir, apa perancangan xNova selepas ini? dan bagaimana kamu akan membelanjakan wang kemenangan itu?
Saya membuat keputusan untuk bercuti dengan keluarga. Kekalahan di TI agak mengecewakan tapi saya rasa ia adalah salah satu pengajaran untuk kami menjadi lebih matang dan kuat. Saya berharap kami akan dapat buat yang lebih baik musim depan dan mungkin kembali ke pentas untuk The International 2019 di Shanghai, China.
—–
Tentunya kejayaan xNova menjadi satu pengalaman paling berharga buat dirinya dan juga dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan dalam arena e-sukan di Malaysia.
Di esportsearnings.com, satu portal yang menyenaraikan pendapatan kasar atlet e-sukan di seluruh dunia, xNova menggalas kedudukan ke-54 dengan pendapatan dianggarkan USD1.11 juta (RM4.546 juta). Ini adalah satu lagi pencapaian selepas Mushi, MidOne, Chuan, Ah Fu dan Ohaiyo. Tahniah xNova!