DOTA2: “Kepada Semua, Saya Dah Sedia Kibar Jalur Gemilang!” – vtFaded

Demam The International, kejohanan dunia Dota 2 akan bermula tak lama lagi. 

Semalam, baru saja selesai pusingan kelayakan fasa kedua yang membabitkan negara China, Eropah dan Amerika Utara yang berentap menempah tiket ke TI9. 

Penulis sempat menemubual wakil Malaysia, Cheng Jia Hao (vtFaded), 20 tahun yang pertama kali melayakkan diri ke The International!

vtFaded bersama MATUMBAMAN, MISERY, MiLAN dan KheZu berjaya layak ke The International 9 selepas menewaskan Final Tribe 3-0. Dalam perlawanan upper bracket,  mereka tewas di tangan Final Tribe sebelum berjaya meluncur ke Grand Final bertemu kembali skuad Sweden itu.

MyGameOn: Bagaimana anda direkrut ke Chaos EC?

vtFaded: Sebelum ini saya bermain dengan POWER MYSGAU ketika jurulatih Chaos EC mencadangkan nama saya. Memang dilema mula-mula, kerana ada rasa gementar menyertai Chaos EC bermakna saya perlu bermain di Eropah dengan pemain berpengalaman. Sebagai anak Malaysia yang belum pernah ke luar negara dengan kerap, ia bagaikan satu gerakan berisiko. 

Bila ingat kembali, saya bersyukur kerana mengorak langkah itu dan tak memandang ke belakang lagi. Pemain-pemain Chaos EC sangat mesra dan baik. Saya rasa dengan pengalaman ini turut mematangkan saya sebagai seorang individu.

MGO: Apa perasaannya bila dapat main bersama Matumbaman?

vtFaded: Memang satu peluang yang saya sangat hargai apabila dapat bermain bersama Matumbaman dan kenal dia dengan lebih dekat. Ramai orang yang inginkan momen seperti ini. Dia seperti big brother dalam pasukan, selalu memberi nasihat. Seorang yang cool dan handsome – hahaha.

MGO: Ceritakan tentang Misery!

vtFaded: Saya rasa Misery dah berjaya penuhi tugasnya sebagai kapten. Dia dah buat yang terbaik sepanjang pusingan kelayakan termasuk draft dan memberikan kata-kata semangat. MASTER MISERY! Haha.

MGO: Perancangan selepas ini?

vtFaded: Kami baru saja menang pusingan kelayakan jadi belum ada perancangan teliti dibuat. Ada antara ahli pasukan saya perlu memohon visa jadi semuanya masih dalam perbincangan. Kami pastinya akan bootcamp di China atau mana-mana negara di rantau Asia Tenggara.

MGO: Perasaan masuk The International buat pertama kali? Macam mana, gementar tak?

vtFaded: Ini juga kejohanan LAN Valve yang pertama untuk saya dalam karier Dota 2. Saya anggap ini sebagai pencetus untuk menggapai impian dan ini masanya untuk tunjukkan kuasa Asia Tenggara! Semangat itu masih berkobar-kobar hingga sekarang. Saya masih ingat tangan ni rasa sejuk dan jantung berdegup kencang. Dengan kejayaan ini, ia seperti khayalan, saya sampai tak boleh tidur malam tu.

MGO: Soalan paling ditanya-tanya: kata-kata kepada peminat dekat luar sana?

vtFaded: Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan selama ini. Bagi mereka yang akan saksikan kembara mencabar ini, saya akan kibarkan Jalur Gemilang! dan berharap lebih ramai pemain Malaysia di arena professional pada masa akan datang kerana ada ramai bakat dalam negara terutamanya dalam Dota 2 dan permainan video lain.

——

Senarai pemain Malaysia lain yang layak ke TI9. Gambar: Academy of Esports

The International adalah kejohanan dunia Dota 2 yang berlangsung setiap tahun, mengumpulkan 18 pasukan berentap merebut wang tunai terkumpul lebih USD26 juta (RM107 juta).

Edisi ke-9 ini akan berlangsung di Shanghai, China, pertama kali dalam sejarah The International untuk dianjurkan di benua Asia.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+