Apabila kita menonton liga e-sukan, kita sering dengar pertandingan diulas sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Setelah adanya permainan mencapai tahap populariti tinggi seperti Dota 2 dan CS:GO, organisasi e-sukan lebih aktif mencari bakat pengulas yang petah bercakap dalam pelbagai bahasa untuk menarik perhatian peminat di negara yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Sebagai contoh, kejohanan The International 2018 disiarkan secara rasmi melalui tiga bahasa: Inggeris, Rusia dan Cina (Mandarin)."> Apabila kita menonton liga e-sukan, kita sering dengar pertandingan diulas sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Setelah adanya permainan mencapai tahap populariti tinggi seperti Dota 2 dan CS:GO, organisasi e-sukan lebih aktif mencari bakat pengulas yang petah bercakap dalam pelbagai bahasa untuk menarik perhatian peminat di negara yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Sebagai contoh, kejohanan The International 2018 disiarkan secara rasmi melalui tiga bahasa: Inggeris, Rusia dan Cina (Mandarin)." /> Apabila kita menonton liga e-sukan, kita sering dengar pertandingan diulas sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Setelah adanya permainan mencapai tahap populariti tinggi seperti Dota 2 dan CS:GO, organisasi e-sukan lebih aktif mencari bakat pengulas yang petah bercakap dalam pelbagai bahasa untuk menarik perhatian peminat di negara yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Sebagai contoh, kejohanan The International 2018 disiarkan secara rasmi melalui tiga bahasa: Inggeris, Rusia dan Cina (Mandarin)." />

‘Tiada Masalah Untuk Mengulas Perlawanan E-Sukan Dalam Bahasa Melayu Secara Profesional,’ Kata Partibhan “OnTheGo”

Apabila kita menonton liga e-sukan, kita sering dengar pertandingan diulas sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Setelah adanya permainan mencapai tahap populariti tinggi seperti Dota 2 dan CS:GO, organisasi e-sukan lebih aktif mencari bakat pengulas yang petah bercakap dalam pelbagai bahasa untuk menarik perhatian peminat di negara yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Sebagai contoh, kejohanan The International 2018 disiarkan secara rasmi melalui tiga bahasa: Inggeris, Rusia dan Cina (Mandarin).

Di Malaysia pula, majoriti rakyat kita fasih dalam bahasa Inggeris tetapi kita jarang dapat dengar ulasan perlawanan e-sukan dalam bahasa ibunda kita sedangkan itu merupakan bahasa kebangsaan negara kita.

Kami bercakap bersama seorang pengulas profesional e-sukan dan streamer, Partibhan Petchayappen “OnTheGo” untuk mengupas isu penggunaan bahasa Melayu sesuai untuk mengulas dan sebab utama kekurangan ulasan bahasa Melayu dalam kalangan komuniti e-sukan.

 

Menceburkan diri sebagai pengulas e-sukan profesional

Parthiban Petchayappen

Peluang keemasan Partibhan untuk mengulas secara profesional tiba apabila Mineski mahu menganjurkan pencarian bakat bagi kejohanan Malaysia Esports League (MESL) pada tahun 2017. Setelah dia menghantar video kepada pihak penganjur, Mineski memberi peluang kepada Parthiban untuk mengulas buat kali pertama di MESL, khususnya untuk Dota 2.

Inilah titik permulaan bagi Partibhan yang pernah mengulas untuk liga e-sukan lain seperti Acer Predator League dan ROG Masters. “Saya juga satu-satunya wakil Malaysia bagi mengulas KL Major baru-baru ini,” katanya. KL Major merupakan salah satu liga penting dalam e-sukan kompetitif Dota 2 yang baru diadakan buat pertama kali di Malaysia.

 

Fasih berbahasa Melayu dan Inggeris

Walaupun Partibhan sering mengulas liga e-sukan dalam bahasa Inggeris, dia juga melakukan ulasan perlawanan Dota 2 dalam bahasa Melayu yang disiarkan melalui halaman Facebook ‘Dota2onthego’ pada Mei tahun ini.

Dia melakukan ulasan dalam bahasa Melayu sekadar untuk mengisi masa lapang tetapi melihat angka penonton semakin meningkat setiap kali dia membuat livestream dalam bahasa Melayu. Dia berkata, “Ketika itu, Dota2onthego hanya ada 200 pengikut sahaja tetapi bila saya buat livestream, boleh tahan jugalah sebab ada 50 orang tengok siaran saya.

“Sejak dari itu, semakin ramai orang menonton livestream saya daripada 50 orang ke 200 orang. Berdasarkan daripada angka itu, baru saya sedar ada pasaran casting (mengulas) dan streaming dalam bahasa Melayu walaupun Dota 2 ini sudah lama dikeluarkan kira-kira 8 tahun lepas.”

Ketika liga terbesar Dota 2, The International 8 (TI8) sedang berlangsung, Partibhan aktif melakukan ulasan perlawanan antara pasukan-pasukan terbesar Dota 2 dan turut menjemput kira-kira 10 pengulas e-sukan berbilang kaum untuk mengulas dalam bahasa Melayu. “Mereka semua setuju untuk mengulas secara rela dan datang apabila mereka ada masa lapang,” kata dia.

Dia juga giat membuat video-video highlight yang memberi fokus kepada aksi menarik TI8 bersama pengulas lain dan ini mendapat perhatian eGG Network, sebuah saluran e-sukan di TV.

Dia teruja dengan panggilan itu, “Jadi, mereka hubungi saya untuk mengulas TI8 dalam bahasa Melayu secara eksklusif di Tamago. Mereka tampung segala kos bayaran untuk produksi.”

Partibhan bersama pengulas e-sukan seperti Azrul Anwar “J Hunter”, Zieqry “AddMaths”, Muhamad Ilham “Lin” Kamarudin, Muhammad Farouq “Flava”, Hana Wispie dan ramai lagi menyumbang ulasan TI8 dalam bahasa Melayu di aplikasi itu.

Partibhan mendedahkan capaian angka tontonan tertinggi dicatatkan ialah sebanyak 1,300 tontonan semasa siaran peringkat akhir TI8 di Tamago.

 

Sebab utama kekurangan ulasan e-sukan bahasa Melayu

“Masa saya mula buat ulasan dalam bahasa Melayu, orang yang menonton ulasan saya buat kali pertama menganggap ini lawak sebab mereka sudah terbiasa bertahun-tahun dengar ulasan dalam bahasa Inggeris,” kata Partibhan memberi komen terhadap persepsi negatif ulasan bahasa Melayu.

Dia menambah, “Selepas mereka dengar 2, 3 kali, baru mereka rasa selesa dan boleh ‘layan’ Dota 2 dalam ulasan bahasa Melayu.”

Partibhan mengulas dengan gaya bahasa Melayu bersahaja untuk livestream di halaman Facebooknya. Dia menerangkan tujuannya, “Saya ‘pasarkan’ sikit bahasa Melayu saya supaya senang bagi penonton berinteraksi dan menolong saya memberi terjemahan betul semasa saya sedang membuat livestream.

“Untuk istilah permainan, saya tak cuba untuk menterjemahkan semua (dalam bahasa Melayu) sebab kalau menukarkan semua jadi tak sesuai sangat seperti stun akan jadi ‘jatuh pengsan ke tanah’ tetapi ada juga istilah boleh diterjemahkan seperti buyback iaitu ‘membeli balik’.

Partibhan kadangkala merujuk penterjemahan ke bahasa Melayu dengan Puan Haida, cikgu bahasa Melayu yang mengajarnya semasa di bangku sekolah menengah untuk menyampaikan penggunaan bahasa yang mudah dan enak didengari oleh penonton.

 

Pasaran cerah untuk mengulas dalam bahasa Melayu

Apabila diajukan soalan, ‘bolehkah pengulas e-sukan baru mengulas sepenuhnya dalam bahasa Melayu?’, Partibhan menjawab tiada masalah untuk mengulas perlawanan e-sukan dalam bahasa Melayu tetapi ini bergantung kepada pilihan permainan.

Pada pendapat Partibhan, pengulas baru yang mahu mengulas dalam bahasa Melayu boleh bermula dengan permainan aplikasi mobile seperti Mobile Legends dan PUBG Mobile kerana lebih dikenali dengan audiens berbahasa Melayu.

Permainan PC seperti Dota 2 dan League of Legends agak susah untuk mengulas sepenuhnya dalam bahasa Melayu kerana kurang liputan pertandingan dalam ulasan bahasa Melayu.

Malah, dia ujar lebih bagus sekiranya pengulas itu fasih dalam kedua-dua bahasa kerana penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris boleh meningkatkan nilai karier pengulas e-sukan profesional. Partibhan berkongsi pendapatan lumayan sebagai pengulas e-sukan boleh mencecah sehingga RM1,200 untuk satu hari bagi sesebuah acara pertandingan.

 

‘Pengulas e-sukan profesional berbahasa Melayu boleh dikira dengan jari’

Meskipun ada ramai pengulas berbakat di luar sana, Partibhan memberitahu bilangan pengulas e-sukan berbahasa Melayu boleh dibilang menggunakan jari berbanding pengulas bahasa Inggeris.

“Bagi saya, inilah masa terbaik untuk menceburkan diri dalam e-sukan kerana industri ini disokong oleh kerajaan. Malaysia sekarang menjadi seperti satu lombong emas e-sukan kerana ada banyak acara e-sukan bakal diadakan di sini.

“Selagi adanya pertandingan e-sukan dan pemain, selagi itu organisasi e-sukan memerlukan krew produksi termasuk pengulas dan bakat-bakat lain untuk menjayakan acara,” katanya yang sentiasa memberi dorongan semangat kepada pengulas-pengulas e-sukan baru.

Partibhan juga berkongsi kepada MyGameOn bahawa dia akan mengulas dalam bahasa Melayu secara rasmi untuk satu pertandingan Dota 2 anjuran Valve di Eropah dan mungkin akan berbuat demikian untuk The International 2019 di Shanghai sekiranya semua berjalan dengan lancar.

Untuk pengetahuan anda, bahasa Melayu akan menjadi bahasa rasmi dalam aspek pembelajaran pada tahun 2020, dan bakal digunakan secara rasmi di Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Antara inisiatif pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (2020-2030) ialah:

1- Memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang mencakupi pelbagai bidang dan sektor di Malaysia.

2- Memperkasakan perancangan dan pemupukan bahasa Melayu tinggi bagi membentuk tamadun bangsa Malaysia yang berbudaya dan berakhlak mulia.

3- Merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara

4- Mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama di ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di dunia!

Semoga bahasa Melayu dapat dimartabatkan kembali menjadi lingua franca yang akan wujud semula untuk pelbagai bidang termasuk pembangunan permainan video dan e-sukan!

RELATED NEWS

+