Adakah korang berminat untuk menjadi DrDisRespect, Ninja dan Shroud? Bermain game secara langsung kini menjadi lebih mudah dengan laman rasmi seperti Twitch, Facebook dan YouTube memberikan tempat bagi pemain untuk menyiarkan permainan mereka secara langsung dengan audiens mereka tersendiri.
Semasa berucap di Kejohanan E-Sukan Kampus di UiTM Lendu, Adam ‘SparTankeR’ Faiz berkongsi tip-tip bagaimana untuk memulakan stream bagi mereka yang mula berjinak-jinak untuk menyiarkan diri sambil bermain game.
Tip #1 – Ada PC dan OBS serta kamera berkualiti tinggi
Bagi strim secara profesional, seorang streamer harus memiliki PC berkuasa tinggi dan sedikit pengetahun mengendalikan perisian OBS (Open Broadcasting System) yang digunakan dalam penstriman. Selain itu, korang memerlukan kamera dan mikrofon yang bagus.
Tip #2 – Mikrofon berkualiti membuahkan hasil
Dari segi mikrofon, Adam menjelaskan jenis mikrofon juga harus dititikberatkan dalam pemilihan. Untuk menghasilkan kualiti suara ala radio, beliau menasihatkan streamer baru untuk membeli condenser microphone. Beliau juga merasakan ia lebih baik untuk menggunakan mikrofon sebenar berbanding mikrofon disediakan dalam headphone untuk kualiti suara bagus ketika membuat strim.
Tip #3 – Penggunaan dua monitor
Walaupun ia kelihatan mudah, sebenarnya perkara penting untuk strim adalah memiliki dua monitor. Ini adalah memudahkan seorang streamer untuk menggunakan monitor pertama untuk main game manakala monitor kedua untuk membaca komen. Bacaan komen adalah salah satu cara berinteraksi bersama penonton dan merasakan mereka dihargai oleh streamer.
Tip #4 – Tahu sasaran audiens strim
Untuk menambat hati ramai penonton dan pemain di Malaysia, Adam ‘SparTankeR’ Faiz berpendapat Facebook adalah tempat paling sesuai untuk membuat streaming kerana kebanyakkan syarikat telekomunikasi tempatan memberi pakej data percuma untuk Facebook.
Selain itu, pemilihan game itu juga amat penting kerana ini boleh menarik perhatian ramai penonton. Lebih ramai penonton melihat strim korang, lebih senang untuk menjana pendapatan melalui Facebook (Facebook Star), Twitch (Twitch Affliate dan Partner) dan YouTube (dijana oleh iklan).
Menurut Adam, game paling hangat dan ramai orang menonton buat masa sekarang adalah game mobile seperti Mobile Legends dan PUBG Mobile.
Tip #5 – Buat jadual strim
Setelah menarik perhatian penonton, salah satu cara untuk mengekalkan bilangan penonton adalah untuk merangkakan satu jadual khas untuk strim. Adam memetik contoh streamer TTC Gaming yang mempunyai jadual tetap mereka tersendiri.
Yang paling penting, streamer haruslah mengikut jadual yang telah ditetapkan kerana jadual ini berguna untuk mengingatkan penonton tentang strim dan membuatkan korang sentiasa relevan di hati penonton.
Terima kasih kepada XPAX, Kitamen, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Predator, Sades, Moonton E-Project, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Malaysia (ESM), Cadbury, Todak, Boost dan Mountain Dew bagi menjayakan #XPAXKEK.