Aiman Wafiy kini Pengurus Operasi Resurgence MY, Johnny Tan sebagai Country Director

Aiman Wafiy Roslan kini bertanggungjawab sebagai Pengurus Operasi bagi sebuah organisasi e-sukan iaitu Resurgence MY.

Pengumuman itu dibuat sebentar tadi di laman Facebook miliknya.

Aiman sebelum ini pernah bekerja di REV Media Group sebagai Esports Event Producer dan bekerjasama dalam projek e-sukan seperti Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK), IGN Squad Up dan Lunch Time Cup (LTC).

Bagi posisi baru tersebut, Aiman akan menjadi pengurus bagi pasukan Call of Duty Mobile (CODM), dianggotai oleh pemain-pemain muda berbakat yang sebelum ini mewakili negara di kejohanan MSP (Malaysia, Singapura dan Filipina). Resurgence CODM sebelum ini dikenali sebagai 21 Huntsmen dan mereka juga pernah menjuarai kejohanan ESL Malaysia.

Selain itu Aiman juga akan menguruskan skuad PUBG Mobile milik Resurgence, dianggotai oleh pemain popular di platform Facebook Gaming antaranya Vokey dan IronPRO.

“Kami ada perancangan untuk mengambil lebih banyak pasukan dalam judul e-sukan yang berlainan di Malaysia khususnya. Nantikan pengumuman daripada kami,” kata Aiman ketika dihubungi.

Sementara itu, Johnny Tan yang sebelum ini mengetuai Flash Vision Esports kini sah dilantik sebagai Country Director untuk Resurgence MY.

Beliau bertanggungjawab membantu meluaskan pengaruh Resurgence dengan kerjasama dijalinkan melalui penajaan daripada jenama-jenama yang berminat terhadap industri ini.

RELATED NEWS

+