Atlet e-sukan tak termasuk dalam penerimaan elaun bulanan

Sukan SEA Hanoi 2021 sudah pun melabuhkan tirainya dengan Malaysia berada di tangga keenam dengan membawa pulang 39 pingat emas.

Atlet e-sukan kita berjaya membawa pulang tiga pingat gangsa untuk acara FIFA Online 4, PUBG Mobile berkumpulan dan Arena Of Valor (AOV).

Meskipun tidak mencapai sasaran, tetapi atlet kita sudah memberikan yang terbaik untuk kejohanan ini.

Pada hari rabu yang lalu, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Amumu, memuat naik sebuah hantaran di Facebooknya mengenai kenaikan kadar elaunan bulanan untuk atlet sukan negara yang berjaya membawa pingat untuk Malaysia.

Namun, masih tertanya-tanya adakah atlet e-sukan kita mendapat elaun yang sama?

Pengurus Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Syazwan Mohd Hanafie, menyatakan bahawa kadar kenaikan elaun bulanan hanya akan diberikan kepada atlet yang menerima kontrak sepenuh masa di bawah program MSN.

“Untuk makluman, kadar yang dimaklumkan ini adalah untuk atlet yang menerima kontrak sepenuh masa di bawah program MSN.

“Namun, e-sukan bukanlah sukan sepenuh masa dan kita bagi bantuan kepada sukan luar program bergantung kepada bentuk bantuan yang diluluskan di dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh pihak Majlis,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Dia juga mengatakan bahawa e-sukan adalah program jangka masa pendek dan atlet e-sukan adalah di bawah jagaan syarikat.

“E-sukan adalah program jangka masa pendek atau luar program dan program latihan sukan ini hanya dirangka apabila e-sukan sudah dikenalpasti samaada ia akan dipertandingkan di temasya ataupun tidak. Tambahan atlet e-sukan adalah di bawah jagaan syarikat dan bukannya persatuan,” katanya.

Syazwan juga menyebut e-sukan masih belum disenaraikan dibawah sukan sepenuh masa MSN disebabkan baru dua kali sahaja e-sukan dipertandingkan di temasya sukan Asia dan sukan SEA.

Foto: kosmo

RELATED NEWS

+