Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, hidup kita mula berubah. Tidak terkecuali juga golongan gamers. Ramai yang mungkin mengaitkan mereka dengan bermain game saja tanpa keluar rumah.
Namun, hari ini penulis mahu anda melihat perspektif hidup mereka dengan lebih meluas. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, beberapa gamers membuat keputusan untuk memberi sumbangan kepada golongan memerlukan. Ada yang menerusi badan bukan kerajaan (NGO), ada juga usaha sendiri. Masing-masing seronok memainkan peranan dalam membantu mereka yang susah.
Sukarelawan di Malaysian Relief Agency (MRA)
Bagi pemilik nama Dhiya Aizat atau selesa dipanggil Dhiya, tujuannya menjadi seorang runner untuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tak lain tak bukan adalah memudahkan urusniaga mereka.
“Sejak PKPB, banyak perkara dilonggarkan jadi saya memilih menjalankan perkhidmatan sebagai runner untuk pengusaha-pengusaha ini. Kebanyakannya berkaitan perniagaan kuih, kerepek dan kek.
“Bagi perniagaan kecil ini, mereka mungkin mengalami masalah untuk menjual di luar jadi saya bantu ringankan beban,” katanya.
Tambah Dhiya, dia juga menyertai barisan sukarelawan bagi sebuah badan bukan kerajaan, Malaysian Relief Agency (MRA).
“Ketika awal Ramadhan, saya kumpul dana untuk membeli barang dan hantar dekat gudang.
“Biasanya barangan asas seperti beras, tepung, garam, serbuk teh, gula, minyak masak dan mee segera.
“Kalau untuk persiapan raya, saya bersama beberapa orang lagi menolong pek 840 bungkusan keperluan asas. Sumbangan ini diberikan oleh syarikat korporat dan kami bantu memastikan ia sampai ke golongan asnaf di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Menurut Dhiya, biarpun PKP membantutkan banyak hasrat pulang ke kampung, namun suasana Raya perlu sentiasa ada makna dan kemeriahan.
“Untuk raya juga kita ada bagi ketupat mini segera, serunding dan memastikan mereka tak putus bekalan makanan.
“Ia mengajar saya rasa bersyukur kerana ramai lagi yang susah. Inilah salah satu cara untuk saya sentiasa belajar hidup dengan rendah diri dan menolong selagi mampu,” katanya.
Dhiya sebelum ini pernah menjadi hos untuk Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) yang mana mahasiswa dan mahasiswi bertanding secara sihat dalam pertandingan e-sukan antaranya Mobile Legends dan PUBG Mobile.
Bantu golongan memerlukan di Kota Jembal, Kelantan
Bagi pemain FIFA, Hj Mohd Izzul Imran Hj Mohd Johari, 31, pula, dia memilih untuk bantu golongan asnaf secara sukarela sekitar kampung keluarga mertua di Kota Jembal, Kelantan pada awal Ramadan lalu.
“Kebetulan pada masa sama pasukan kami menyertai pertandingan MyEsports Kebangsaan. Alhamdulillah rezeki kami sebagai naib johan, Sao Paolo seramai 22 orang sebulat suara berniat untuk bersedekah sempena bulan Ramadhan ini.
“Ini juga adalah usaha pertama kami,” katanya yang mendermakan sebanyak RM2,000.
Izzul bersama rakan-rakannya memberi sumbangan dalam bentuk makanan asas seperti beras, telur, gula dan sebagainya.
“Kami juga serahkan sedikit sumbangan raya dalam bentuk wang tunai. Sumbangan ini diagihkan dari rumah ke rumah, dilakukan bersama dua orang rakan yang ikhlas membantu,” katanya.
Tidak ingin semuanya terhenti di situ, Izzul berkata, ini bukanlah usaha terakhir malah akan dipergiatkan lagi pada masa hadapan. Katanya, usaha murni ini akan dijadikan pemangkin semangat untuk terus membantu golongan memerlukan.
“Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain,” katanya yang berharap ramai pihak dapat menghilangkan tanggapan negatif masyarakat terhadap pemain ‘game’ dan industri e-sukan secara amnya.
Bantu keluarga susah
Seorang gamer yang ingin dikenali sebagai Myss Hana pula sudah membantu lebih 150 buah keluarga dengan meringankan beban mereka. Bermula dengan misi bantuan peribadi sebanyak RM1,500 di kawasan pedalaman dan kampung yang tercicir bekalan, dia kini meneruskan usaha tersebut dengan bantuan rakan-rakan.
“Pada mulanya saya gunakan duit simpanan saya tapi apabila lihat lebih ramai yang perlukan bantuan, saya mula berkongsi berita ini pada kawan-kawan gamers lain.
“Alhamdulillah ada dua hingga tiga individu yang tampil menghulurkan dana.
“Duit yang diterima saya gunakan untuk membeli barangan asas dapur, susu bayi dan juga wang tunai untuk bayaran ubat-ubatan,” katanya.
Menurutnya, seseorang itu tidak perlu menunggu untuk jadi kaya baru mahu berbakti sebaliknya bantu dengan yang termampu.
“Hati terdetik menolong orang susah itu semua kerja kita tak kira pangkat dan status. Sebab misi bantuan dengan keikhlasan hati setakat mana yang kita mampu, jadi kenapa perlu tunggu jadi kaya baru mahu menolong?
“Bagi saya, orang susah bantu orang susah. Hidup ini jadilah orang yang bermanfaat dalam kehidupan yang lain,” katanya.
Dana untuk kebakaran rumah sahabat streamer
Dalam satu posting di Facebook, streamer dan pengulas, Sir Cloud atau nama sebenarnya Andrew Cheong membantu sahabat streamer, Danny yang berdepan tragedi rumah terbakar pada awal bulan ini.
Hanya berniat untuk membantu, Andrew membuka custom room amal PUBG Mobile dan berjaya mengutip sebanyak 29,190 bintang Facebook di mana hasil tersebut adalah gabungan sumbangan beberapa streamer lain dan penonton strim berkenaan.
Derma salur kepada Aman Palestin
Walaupun jumlah RM100 mungkin dilihat sedikit oleh sesetengah pihak, tidak bagi enam orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini.
Pasukan Genesys dianggotai Azri, Yun Jia, Daniel, Nabil, AinulFitri dan Zahid sebulat suara ingin mendermakan hasil wang kemenangan mereka (RM100) dalam pertandingan Gamers On Duty Weekend Challenge itu kepada badan bukan kerajaan, Aman Palestin.
“Bila saya scroll FB Aman Palestine, saya sebak melihat nasib saudara sesama Islam kita di sana.
“Sejujurnya mereka lebih memerlukan bantuan ini berbanding rakyat di negara kita lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang,” kata Daniel sebagai wakil kumpulan Genesys.
Tambahnya, dia bersama pasukannya berhasrat untuk menyertai lebih banyak pertandingan dan menggunakan wang kemenangan tersebut membantu lebih ramai golongan memerlukan.
“Kami budak lepasan SPM tiada komitmen, ibu bapa masih tanggung perbelanjaan kami.
“Jadi apa salahnya gunakan duit tersebut untuk kebajikan. Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain,” katanya.