Cakap Bahasa Indonesia dalam video Jonathan Liandi, Rippo kongsi pengalaman

Kali pertama penulis menonton video temu ramah antara Jonathan Liandi dan pemain Mobile Legends kelahiran Malaysia, Muhammad Arif Abdul Halim (Rippo), boleh dikatakan penuh dengan rasa teruja.

Temu bual selama lebih 45 minit itu menunjukkan Rippo bersembang dalam Bahasa Indonesia. Baru-baru ini, penulis berjaya mendapatkan komen pemain Bigetron Alpha ini tentang pemahaman bahasa ini.

“Awal-awal jumpa ahli pasukan di Indonesia, saya tak biasa sebab sebelum ini tidak bercampur sangat dengan mereka.

“Bahasa Indonesia pun tak terlalu fasih untuk berkomunikasi dalam permainan,” katanya.

Arif berkata, dia mengetahui asas dalam Bahasa Indonesia dan memperbaiki lagi mutu komunikasi dengan mempelajari istilah-istilah dalam permainan.

“Dalam satu musim saja, saya dah boleh memahami apa yang mereka borak dalam permainan jadi komunikasi lebih lancar,” ujarnya.

Arif mengakui memang sukar untuk benar-benar fasih Bahasa Indonesia namun memahami yang ia penting kerana rakan-rakannya di sana semua menggunakan Bahasa Indonesia.

Rippo ketika bersama Bigetron Alpha sudah mempunyai pencapaian agak baik antaranya menjadi naib juara di Liga Profesional (MPL ID) musim ketujuh dan layak ke playoffs Piala Asia Tenggara (MSC) 2021.

Sebelum bersama Bigetron Alpha, beliau pernah bermain untuk Genflix Aerowolf dan Geek Fam (Malaysia). Bersama Geek Fam, Rippo menjuarai MPL MYSG musim ketiga dan menyertai MSC 2019 di tempat ketujuh/kelapan.

Foto: ONE Esports

RELATED NEWS

+