Command & Conquer Remastered Diumumkan, EA Bekerjasama Dengan Petroglyph Games & Lemon Sky Studios

Electronic Arts (EA) baru sahaja mengumumkan Command & Conquer (C&C) Remastered akan dibangunkan oleh Petroglyph Games terdiri daripada pembangun-pembangun asal C&C yang pernah berkhidmat untuk Westwood Studios dan bekerjasama dengan studio tempatan, Lemon Sky Studios untuk memberikan kualiti remastered ke tahap lebih cemerlang.

Pada bulan Oktober lepas, kami pernah melaporkan siri C&C klasik bakal dihidupkan kembali akibat sambutan tidak memberangsangkan terhadap C&C Rivals yang bakal dilancarkan di mobile yang membangkitkan kemarahan ramai peminat.

Menurut satu post baru di Reddit, penerbit EA, Jim Vessella mengesahkan senarai C&C klasik bakal di-remastered adalah Command & Conquer: Tiberium Dawn, Command & Conquer: Red Alert dan pek tambahan (Expansion Packs) seperti Covert Ops, Counterstrike, and Aftermath.Yang lebih menarik, kesemua C&C dan Red Alert serta 3 pek tambahan ini akan digabungkan dan menjadi satu koleksi remastered tanpa microtransaction (pembelian dalam game).

Rata-rata peminat tegar C&C berasa sangsi akan bagaimana EA akan menjalankan projek C&C Remastered ini dan Vessella sedar akan kerisauan korang semua. Untuk membangunkan koleksi remastered ini, EA berganding bahu dengan Petroglyph Games terdiri daripada pembangun asal dari Westwood Studios seperti pencipta bersama C&C (dan ketua programmer Tiberium Dawn dan Red Alert), Joe Bostic, Steve Tall (ketua programmer Red Alert), Ted Morris (pengurus komuniti francais C&C) dan Mike Legg serta komposer runut bunyi C&C asal, Frank Kepacki.

Selain itu, koleksi game RTS klasik ini bakal diserikan ke definisi 4K bersama Lemon Sky Studios, studio bertapak di Malaysia yang pernah menghasilkan seni visual game untuk Marvel’s Spider-Man, Uncharted: The Lost Legacy serta game RTS popular, Starcraft: Remastered. Buat masa sekarang, Lemon Sky juga sedang membawakan nafas visual terbaru untuk Warcraft III: Reforged.

Selaku peminat siri C&C, saya berasa sangat gembira dengan usaha dan dedikasi EA untuk membawa kembali pembangun asal game C&C daripada Petroglyph serta mendapat hasil sentuhan studio Malaysia iaitu Lemon Sky. Setakat ini, tiada tarikh rasmi koleksi remastered C&C di PC diumumkan oleh pihak EA. 

RELATED NEWS

+