Lesen FIFA ‘penghalang’ terbesar EA untuk membangunkan permainan itu

Ketua Pegawai Eksekutif Electronic Arts Andrew Wilson memberitahu kakitangannya dalam mesyuarat dalaman syarikat November 2021 bahawa perkongsian eksklusif selama tiga dekad dengan FIFA menjadi ‘penghalang’ kepada pertumbuhan permainan video bola sepaknya, menurut laporan dari VideoGamesChronicle.

Dengan permainan FIFA 23 tahun depan akan menjadi permainan bola sepak EA Sports terakhir untuk menggunakan nama FIFA, nampaknya beberapa kebimbangan berterusan Wilson dengan FIFA kini disiarkan.

Menurut Wilson, penerimaan lesen dari FIFA memberi mereka kelayakan untuk menggunakan empat huruf terkenal itu di kotak permainannya, sesuatu yang kini tidak relevan memandangkan ramai membeli permain secara digital.

“Memandangkan kami melihat ke masa depan, kami mahu mengembangkan francais, dan ironinya lesen FIFA sebenarnya menjadi penghalang untuk itu,” terang Wilson kepada kakitangan EA Sports.

Wilson juga menunjukkan beberapa contoh di mana pengaruh FIFA memaksa EA Sports untuk mengelak daripada melaksanakan beberapa penambahan yang dikehendaki komuniti, daripada jenama yang lebih berkaitan dengan budaya bola sepak dan komersial selain Adidas kepada mod baharu di luar tetapan 11v11 tradisional.

“Lesen FIFA kami sebenarnya menghalang kami daripada melakukan banyak pembangunan,” kata Wilson.

“Sekali lagi, FIFA hanyalah nama di kotak, tetapi mereka menghalang keupayaan kami untuk membangunkan ciri yang pemain inginkan,”

Pembangunan permainan juga tergendala kerana proses pengesahan lesen dan sebagainya memakan masa yang agak lama yang membantutkan pembangunan permainan.

“Oleh kerana sifat jadual waktu kelulusan dan pelbagai perkara di sekitar lesen FIFA kami, itu sebenarnya sangat sukar dan kami bergerak lebih perlahan daripada yang kami mahukan,” ulas Wilson.

FIFA juga dilaporkan sedang berusaha untuk menggandakan pembayarannya daripada EA Sports, menjadikan angka itu kepada lebih AS$1 bilion (RM 4,196,000,000) setiap empat tahun.

Jelaslah mengapa EA ingin menukar nama FIFA kepada EA Sports FC kerana mereka mungkin ingin meninggalkan lesen FIFA itu dan terus mengembangkan permainan tanpa gangguan dari pihak luar.

Sumber rujukan: Video Games Chronicle

RELATED NEWS

+