Dari Kafe Siber Ke Jenjang Pelamin, Pengantin Baru Ini Cerita Detik Perkenalan

Dari pertemuan pertama di kafe siber, siapa sangka cinta mampu berputik selama lima tahun dan kemudian berakhir di jenjang pelamin?

Itulah kisah Ameerah Idros, 28 yang kini bahagia bersama pasangan tercinta, Khamirul Azuan Kamaruddin.

Menceritakan detik awal perkenalan, Ameerah kebetulan bertemu suaminya yang sedang bermain League of Legends di kafe siber.

“Saya tegur dia bila nampak dia tengah main League of Legends (permainan video yang saya selalu main). 

“Masa tu hanya melawak dengan dia cakap salah beli barang (item), dia pun macam tersentak sekejap sebab belum kenal lagi,” katanya ketawa.

Pertama kali berkenalan lima tahun lalu.

Tidak hanya berakhir di situ, suaminya mengajak lepak di luar dan dari situ lah perkenalan bermula.

“Kami bercakap tentang inisiatif Garena membantu pemain menjadi seorang pro dan menubuhkan pasukan sendiri.

“Dia berminat untuk sertai program ini. Akhirnya, kami bertukar nombor telefon dan kerap berhubung sejak itu,” kata Meera. 

Sejak suaminya berada dalam pasukan tersebut, mereka selalu menjalani latihan dan turun ke acara e-sukan bersama.

“Di Garena, saya ditugaskan untuk membantu pemain menjadi seorang pro yang berdisiplin dan ada kemahiran berkomunikasi.

“Waktu menjalani latihan tu ada la dia ajak keluar, pergi makan sekali. Tapi yang paling saya tak boleh lupa bila main ‘truth or dare’ dengan kawan-kawan. Saya kenakan kawan, tanya siapa crush tapi apakan daya, akhirnya saya pula yang terkena.

“Pada masa itu, saya tunjuk jari dekat dia (suami). Keadaan macam senyap sekejap dan awkward. Saya ingat dia dapat tangkap tapi dia tersilap ingat saya suka dekat kawan dia,” jelasnya.

Meera disatukan sebagai pasangan suami isteri dalam satu majlis perkahwinan minggu lalu.

Tapi perasaan itu tak lama terbuku apabila dia meluahkan rasa suka kepada suami dan bertanya hala tuju hubungan.

“Selepas lama keluar bersama, boleh nampak dia betul selesa jadi kami mula berpacaran selepas beberapa bulan berhubung,” katanya.

Sepanjang berpacaran, Meera mengakui minat yang sama dalam permainan video mengeratkan lagi hubungan mereka.

“Dalam game, dia banyak ajar teknik dan kongsi ilmu macam mana nak main dengan lebih bagus. 

“Bukan itu saja, saya tertarik dengan dia sebab sikap prihatin dan pandai jaga saya. Kalau ikutkan, pertama kali jumpa dia seorang yang agak serius dan formal tapi lama-lama saya boleh nampak diri sebenar dia macam mana.

“Kenangan paling manis bila dia teman saya pergi ke Hyper Play League of Legends di Singapura sebab itu pertama kali dia ke sana. Kami pun ada luang banyak masa bersama jalan-jalan di Singapura.” kata Meera.

Tekad ingin meneruskan kerjaya dalam industri e-sukan, Meera turut mengambil tawaran kerja sambilan. 

“Sekarang, dengan kerjaya di ESL Malaysia, saya masih mengambil tawaran sebagai hos dan juga streamer separuh masa.

“Mana tahu, lepasni masa saya stream, suami akan kacau-kacau di belakang,” katanya ketawa.

Akhir kata, gadis ini berharap pintu rezeki akan sentiasa terbuka dalam industri ini kerana dia memang menaruh minat dan sangat passionate sebagai seorang individu.

RELATED NEWS

+