Expand kutip 3 Booyah dalam masa sehari, AV Radicals tidak bernasib baik?

Pasukan Free Fire tempatan, Expand memulakan aksi minggu ketiga Kejohanan Majors MCPS  musim keempat dengan bergaya apabila mencatatkan tiga Booyah dalam masa sehari.

Expand memulakan aksi di peta Kalahari (A vs B) dengan memperolehi posisi kedua dengan tujuh mata singkir. Pemilihan kawasan mendarat yang berlainan antara faktor pemangkin kebangkitan kerana  mengelakkan pertarungan awal permainan di kawasan Command Post dan memilih The Maze.

Di samping itu, Blacklist International iaitu pencabar terdekat di Bermuda (A vs B) tampak cemerlang sebagai pasukan MVP tetapi sebaliknya Expand berjaya memanfaatkan kawasan zon permainan terakhir untuk merampas Booyah pusingan kedua itu dengan 12 mata singkir.

Impak momentum positif membuatkan pasukan itu seakan-akan dahagakan kejayaan, hasilnya Expand meneruskan rentak itu dengan tiga Booyah berturut-turut sepanjang perlawanan (A vs B) berlangsung.

Di sebalik keputusan positif Expand itu, pasukan yang meniti di bibir peminat, AV Radicals menerima kritikan selepas mempamerkan aksi longlai walaupun mempunyai komposisi pasukan yang mantap.

AV Radicals jelas tidak menunjukkan corak persembahan sebenar mereka dengan mengutip hanya 54 mata selepas mengharungi lima perlawanan pada hari pertama minggu ketiga Kejohanan Majors MCPS  musim keempat.

Menurut analisis bagi dua minggu yang dimainkan, pasukan itu mempunyai purata 18.15 mata setiap pusingan yang dimainkan.Walau bagaimanapun, penanda aras prestasi ini menunjukkan peratus kutipan mata pasukan itu menurun -59.50%. 

Berdasarkan pemerhatian, faktor utama AV Radicals bukan dalam bentuk yang kukuh adalah zon biru yang muncul di kawasan pasukan yang mempunyai kekuatan pertarungan awal permainan.

Kejohanan Majors MCPS musim keempat bagi minggu ketiga hari pertama sudah selesai. Sebanyak 18 pasukan akan beraksi bagi merebut kejuaraan yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM313,000 (AS$70,000).

Peringkat liga juga akan bersiaran secara langsung di Facebook dan Youtube Garena Free Fire Malaysia bermula 3-25 September pada jam 1 Petang.

RELATED NEWS

+