Farang kembali ‘panas’, catat tiga Booyah bagi permulaan minggu kedua Siri Cabaran Free Fire

Artikel ini ditulis oleh Firas Aliyan Idris

Siri Cabaran Free Fire musim kedua kembali dalam aksi minggu kedua. Pada semalam, wakil Malaysia iaitu Farang Esports kembali menemui rentak selepas mencatatkan tiga Booyah daripada lapan pusingan dimainkan. 

Kelebihan lapan pusingan berjaya dimanfaatkan pasukan itu untuk mengutip mata bonus sekali gus melonjakkan mereka sembilan anak tangga ke posisi ketiga liga. 

Booyah pertama diperoleh Farang pada pusingan kedua Kalahari dan sembilan mata singkir berjaya didapatkan dalam saingan kumpulan C menentang kumpulan A.

Farang menonjolkan penguasaan pada pusingan keempat selepas meraih 13 mata singkir dan Booyah pada saingan kumpulan C menentang kumpulan A peta Alpine.

Peta Alpine juga menjadi saksi kebangkitan pasukan itu apabila sekali lagi Farang berjaya mengaut Booyah terakhir dengan lapan mata singkir pada hari pertama minggu kedua.

Wakil Malaysia pada Siri Dunia yang lepas itu kini menduduki posisi ketiga keseluruhan liga dengan pungutan 186 mata keseluruhan sambil di posisi pertama masih didominasi Geek Fam dengan 279 mata. 

Kejohanan ini menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM130,000 dan penyertaan sebanyak 18 pasukan dari empat buah negara.

Jangan lupa saksikan aksi pasukan bertanding di Facebook/Youtube rasmi Garena Free Fire setiap Sabtu dan Ahad pada 2 hingga 31 Julai ini.

RELATED NEWS

+