Garena lakukan perubahan besar untuk FFWS, memperkenalkan FFWS Asia Tenggara 2024

Garena nampaknya akan melakukan perubahan besar untuk roadmap Siri Dunia Free Fire (FFWS) 2024 yang mana liga tempatan akan membawa jenama FFWS.

Ia adalah untuk meningkatkan tahap ekosistem e-sukan melalui penjenamaan pertandingan yang bersesuaian dan mempromosikan identitinya untuk penonton di seluruh dunia. Di bawah sistem baharu ini, setiap liga tempatan FFWS akan menuju kepada FFWS Global Finals pada November.

FFWS Asia Tenggara

Garena juga memperkenalkan FFWS Asia Tenggara yang akan menempatkan pasukan terhebat di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam. Ia adalah liga serantau baharu yang memberikan platform kepada pemain profesional beraksi di pentas lebih besar. 

Terdapat dua kejohanan besar iaitu FFWS Asia Tenggara musim bunga dan FFWS Asia Tenggara musim luruh. Sebanyak 18 pasukan – 5 dari Indonesia, Thailand dan Vietnam manakala Malaysia akan mempunyai 3 wakil saja.

Pemilihan akan dibuat menerusi jemputan secara terus atau pusingan kelayakan tempatan. Slot Malaysia adalah dari dua pasukan jemputan dan satu pasukan dari kelayakan FFWS Malaysia musim bunga 2024, sebelum ini dikenali sebagai MCPS Majors. 

Sebanyak AS$300,000 hadiah wang tunai terkumpul untuk FFWS Asia Tenggara musim bunga 2024 yang akan dimulakan dari 22 Mac hingga 26 Mei depan.

Kejohanan serantau ini akan mula dengan perlawanan dalam talian selama enam minggu sebelum Grand Final pada 24 Mei hingga 26 Mei depan.

Jangan lupa mendaftar kejohanan FFWS Asia Tenggara musim bunga pada Januari depan.

RELATED NEWS

+