Jualan PS4 Semakin Merosot, Adakah Sony Akan Turunkan Harga Konsol?

Kalau anda belum membeli PlayStation 4 (PS4), bagus. Kemungkinan besar konsol tersebut akan jadi lebih murah.

Baru-baru ini, Sony telah mengeluarkan laporan kewangan untuk suku ketiga 2019 dan terdapat beberapa butiran yang menarik pada segmen Permainan & Perkhidmatan Rangkaian (Game & Network Services).

Laporan kewangan Sony untuk suku ketiga 2019 menunjukkan peningkatan dalam bilangan pelanggan PlayStation Plus. Foto: Sony

PS4 semestinya konsol paling laris pada generasi ini. Walaubagaimanapun, PS2 masih bertakhta sebagai konsol permainan video terlaris sepanjang masa dengan jumlah jualan melebihi 155 juta unit.

Menurut laporan yang baru dikeluarkan, 108 juta unit PS4 telah dijual setakat 31 Disember 2019. Untuk perbandingan, jumlah jualan terkini untuk Nintendo Switch mencecah 52 juta unit dan Xbox One pula mencecah 46 juta unit.

Laporan tambahan menunjukkan Sony hanya mengeluarkan 6.1 juta unit PS4 pada suku ketiga 2019. Pada suku ketiga tahun lepas, mereka mengeluarkan 8.1 juta unit. Kemerosotan sebanyak 25% ini jelas sekali menunjukkan kita telah tiba pada penghujung jangka hayat PS4.

Tak boleh dinafikan bahawa ketibaan PlayStation 5 (PS5) pada hujung tahun ini memberikan kesan yang mendalam.

Apabila mengambil kira anggaran harga PS5 yang berkemungkinan mencecah RM2,500, mereka yang belum membeli PS4 pastinya akan menyimpan duit untuk membeli konsol yang lebih canggih.

PS5 dianggarkan keluar pada sekitar bulan November 2020. Foto: Wired

Kepada mereka yang masih berminat untuk memiliki PS4, jangan khuatir. Ada kemungkinan besar Sony akan merendahkan lagi harga PS4 untuk mendapat keuntungan sepenuhnya sebelum keluarnya PS5. Lagipun, terdapat banyak permainan eksklusif PS4 yang anda patut main.

Tak mustahil dalam beberapa bulan akan datang, kita akan nampak harga sebuah PS4 baru menjadi RM1,000 sahaja. Justeru, harga PS4 terpakai (secondhand) juga akan menurun.

RELATED NEWS

+