“Kami mahu elak kesilapan musim lepas,” – Geek Fam Orenn

Artikel ini ditulis oleh Firas Aliyan Idris

Pasukan Geek Fam Free Fire ingin tebus kesilapan musim lepas selepas menjadi juara peringkat liga Siri Cabaran Free Fire (FFCS) musim kedua.

“Grand Final kali ini, kami sudah sediakan strategi yang bersesuaian dengan gaya permainan kami,” ujar Liew Yi Cheng (Orenn) ketika dihubungi MyGameOn.

Geek Fam adalah juara Siri Cabaran Free Fire Malaysia musim pertama peringkat liga. Namun, sekadar berpuas hati di tempat keempat pada Grand Final yang lepas. 

Dia juga berkata akan memastikan kesilapan mudah pada musim lalu tidak diulangi pada aksi peringkat akhir kali ini.

“Keserasian yang kami bentuk dalam masa yang singkat juga nampak berhasil dengan kaedah latihan yang dipraktikkan sejak bermulanya pertandingan,” kata Orenn.

Orenn juga menyifatkan keterujaan menjuarai Siri Cabaran Free Fire (FFCS) musim kedua peringkat liga tidak sedikit mengganggu konsentrasi pasukannya.

Dia juga menganggap 11 pasukan lain adalah unik dan mempunyai kelebihan tersendiri. Jadi, Geek Fam tidak meletakkan mana-mana pasukan sebagai pesaing terdekat atau ancaman.

Grand Final Siri Cabaran Free Fire musim kedua akan berlangsung secara dalam talian di laman rasmi Youtube dan Facebook Garena Free Fire Malaysia pada 30 dan 31 Julai ini.

Siapa akan menjadi juara? Kita bakal saksikan.

RELATED NEWS

+