Malaysia Layak Bertanding Di Overwatch World Cup 2019

Malaysia berjaya melayakkan diri untuk bertanding dalam Overwatch World Cup 2019 yang bakal berlangsung di persidangan tahunan Blizzard, BlizzCon 2019.

Sebanyak 47 negara menyertai kejohanan antarabangsa ini dengan 10 negara teratas seperti Korea Selatan, China, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Malaysia tergolong dalam 10 negara Asia lain manakala hanya 4 negara sahaja daripada Asia Tenggara iaitu Malaysia, Thailand, Singapura dan Filipina. Korang boleh lihat keseluruhan ahli jawatankuasa negara untuk Overwatch World Cup 2019 di sini.

Bagaimana Malaysia boleh terpilih untuk ke Overwatch World Cup 2019?

Pencapaian ini direalisasikan setelah Blizzard menggunakan sistem pengundian yang mana semua undi datang daripada komuniti pemain bagi memilih ahli jawatankuasa negara masing-masing untuk tiga posisi iaitu pengurus pasukan, penyelaras komuniti dan pengadil.

Ahli jawatankuasa Malaysia rasmi untuk Overwatch World Cup 2019 dengan profil Twitter mereka.

Ahli jawatankuasa rasmi Malaysia untuk Overwatch World Cup 2019 diwakili oleh pengurus pasukan, Kenn “Beagull” Leandre, penyelaras komuniti, Sun “megikari” San dan pengadil, Jack “RagonSEA” Teoh.

Mana barisan pasukan Overwatch untuk negara Malaysia?

Buat pengetahuan korang, hanya fasa ke-2 sahaja telah selesai iaitu melantik ahli jawatankuasa rasmi Malaysia ke Overwatch World Cup 2019. Fasa ke-3 akan bermula tidak lama lagi iaitu proses pemilihan pemain. Semua pasukan dari semua negara akan mengadakan pertandingan untuk mencari pemain dan membentuk pasukan Overwatch mereka tersendiri.

Jawatankuasa setiap negara hanya boleh menghantar 12 pemain yang berpotensi kepada Blizzard yang mana mereka akan terima dan sahkan. Kemudian, ahli jawatankuasa perlu memilih 7 pemain sahaja yang bakal mewakili Malaysia ke Overwatch World Cup 2019 di arena BlizzCon bertempat di Pusat Konvensyen Anaheim, California, Amerika Syarikat bermula pada 1 November ke 2 November 2019.

Ini merupakan penyertaan pertama pasukan Malaysia ke Overwatch World Cup 2019 iaitu liga ke-4 dianjurkan oleh pembangun, Blizzard. Dalam rantau Asia Tenggara, Thailand merupakan negara aktif dalam Overwatch secara kompetitif dan satu-satunya negara yang termasuk dalam 24 pasukan terbaik untuk Overwatch World Cup 2018. Malah, salah satu kelayakan pertandingan Overwatch World Cup 2018 juga diadakan di Bangkok pada tahun lepas yang pernah dikunjungi oleh penyelaras komuniti kita sendiri!

Untuk maklumat lanjut tentang pemilihan pemain, tarikh pertandingan akan datang dan pengumuman lain, korang boleh ikuti laman Facebook, Twitter dan Discord rasmi pasukan Malaysia ke Overwatch World Cup 2019.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.

RELATED NEWS

+