Menuju M4: Adeen, Laphel dan Sunfrost bagi pandangan terhadap Todak

Berikutan prestasi pasukan Malaysia yang diwakili Todak di IESF Bali 2022, ramai yang mengharapkan lebih. Ini kerana prestasi mereka di Kejohanan Jemputan Liga Profesional MLBB (MPLI) yang agak cemerlang.

Kekalahan Todak di tangan pasukan Filipina dan draft yang agak luar kebiasaan pada awal siri IESF Bali sedikit sebanyak mengejutkan ramai pihak. Ini adalah pandangan pengulas MPL MY:

Apa yang terjadi kepada pasukan Todak?

Sunfrost:  Apa yang terjadi kepada pasukan Todak baru baru ini, boleh saya sifatkan sebagai sebuah hasil eksperimen yang tidak lengkap. Mereka membawa line-up yang berbeza, cara permainan yang berbeza malah hero yang jarang dimainkan oleh mereka juga digunakan.

Sedangkan jarak diantara IESF dan MPLI tidak terlalu besar, pastinya persiapan untuk mengubah semua ini tidak mampu dilakukan dengan teliti. Lebih mengelirukan lagi, mereka mengubah corak permainan sedangkan pada MPLI dan MPL yang lalu mereka menampilkan prestasi yang jauh lebih baik. Mungkin mereka mempunyai matlamat tersendiri dalam kejohanan IESF ini.

Laphel: Pada saya , netizen dah cukup pandai untuk lihat kesilapan pasukan todak , sebab itu banyak saja sebenarnya pendapat yang boleh diterima . Tetapi kalau ada mula serang secara peribadi atas kekalahan sekumpulan, pada saya itu satu budaya yang tak sihat yang kita patut halang.

Bila saya tengok orang komen prestasi Moon jatuh sebab dia berkahwin, pada saya itu satu perkara yang merosakkan budaya e-sukan ini. Disebabkan banyak anak muda nak sertai e-sukan, komen macam ini akan bagi idea yang kahwin adalah satu perbuatan yang akan menurunka prestasi atau gameplay seseorang individu .

Netizen juga perlu bezakan professional dan peribadi. Saya boleh setuju yang pasukan Todak, mereka banyak guna strategi yang berasaskan ‘high risk – high reward’ . Bila berhasil, ramai akan keliru dan disebabkan kekeliruan ini pihak lawan tidak dapat memberi respons.

Pendapat saya sendiri ialah pasukan antarabangsa dah lebih bersedia untuk pergerakan macro pasukan Todak. Mereka boleh agak macam mana mereka nak mulakan serangan. Buktinya adalah perlawanan Malaysia vs Filipina. Bila Todak mulakan serangan, pasukan Filipina ‘kite’ sahaja dan lawan balik bila skill semua cooldown.

Adeen: Apa yang berlaku dengan Todak di kejohanan IESF ini bukan lah satu perkara yang mengejutkan kerana sudah beberapa kali kita lihat Todak masih belum boleh mengatasi Filipina ataupun Indonesia di persada antarabangsa secara konsisten.

Nak dibandingkan dengan kejohanan dunia yang lain sekalipun agar sukar kerana jurang perbezaan tak banyak. Sejujurnya pengalaman bukan lagi satu perkara yang Todak perlu “cari” atau “dapatkan” kerana mereka sudah ada pengalaman yang bertimbun dengan pemain sedia ada mereka.

Prestasi mereka untuk IESF ini boleh saya katakan stagnant atau plateau (a state of little or no change following a period of activity or progress). Nak kata kecewa tidak, nak kata bangga pun tidak. Lebih kepada sudah menerima hakikat kemungkinan ini sahaja tahap kemampuan Todak.

Apa yang Todak perlukan sebelum menghadapi M4?

Adeen: Soalan apa yang diperlukan Todak, susah saya nak jawab sebab Todak dah miliki segalanya:
1. Pengalaman
2. Pemain berbakat
3. Jurulatih yang baik
4. Pengurusan bagus

Kemungkinan lah daripada sudut pandangan saya sahaja, istilah bereksperimentasi itu biar sahaja ia dilakukan sewaktu scrim/latihan. Eksperimen hero/lineup/strategi semua itu sewajarnya dilakukan di scrim dan hanya dibawa di kejohanan apabila mereka dah yakin 500% dengan experiment mereka.

Beberapa kali kita lihat sewaktu Todak kalah, alasan yang dibahaskan adalah mereka bereksperimentasi mencuba sesuatu. Bagi saya tidak salah nak mencuba benda baru tapi setiap pekara ada tempat dan waktu yang sesuai untuk melakukannya.

Apabila berada di kejohanan membawa nama Malaysia mahupun Todak, mereka kena tampilkan yang gameplay yang terpaling baik terpaling perform mereka. Kalau kalah sekalipun atleast kita tahu itulah strategy terbaik dah pakai. Tapi lagi sekali, ini pendapat peribadi saya sahaja. Mungkin ada yang setuju ada yang tidak, tak mengapa sebab kita berdiskusi untuk kebaikan pasukan Malaysia di masa depan.

Sunfrost: Sekiranya ada sesuatu yang perlu mereka lakukan, pastinya belajar dari kesilapan. Kita sudah lihat pelbagai barisan utama dari Todak, pastinya jurulatih serta penganalisis mengetahui mana yang terbaik.

Tambahan lagi, walaupun kepelbagaian strategi adalah keistimewaan mereka, tetapi mereka perlu perkuatkan setiap daripadanya sebelum dibawa ke sesebuah kejohanan. Mungkin selepas ini mereka boleh fokus untuk menajamkan lagi strategi yang sedia ada daripada mencari perkara yang baharu dan berisiko tinggi.

RELATED NEWS

+