Mobile Legends: Adam, Laphel dan Ikuto kongsi pengalaman, MPL kali ini banyak kejutan

Musim liga MPL MY/SG Musim Keenam sudah bermula semalam dan boleh dikatakan banyak saja pembaharuan dibuat kali ini. Daripada perubahan roster yang begitu drastik, patch baru, format ban yang ditukar dan banyak lagi.

Bagi barisan pengulas A.L.I yang juga akronim untuk Adam, Laphel dan Ikuto, mereka punya kisah tersendiri. Bagi yang tidak tahu, A.L.I sebelum ini pernah mengadakan rancangan mingguan di Facebook bagi membincangkan topik dan strategi hangat dalam Mobile Legends: Bang Bang.

 

Radzi ‘Ikuto’ Rahman

 

Bagi satu-satunya pengulas dari musim pertama hingga sekarang, Radzi “Ikuto” Rahman sangat teruja sekali lagi diberi peluang untuk mengulas.

“Apa yang saya boleh katakan, musim baru ini penuh kejutan kerana kita tak boleh nak jangka pasukan mana yang kuat dan lemah kerana banyak pemain baru dan pertukaran roster.

“Bagi saya ini positif kerana kita boleh nampak bakat baru naik. Kita tahu biasanya, ada sebablah mereka di sana (di pentas MPL). Bakat baru ini kebanyakannya muda-muda belaka jadi boleh dibentuk menjadi seorang profesional dengan mudah,” katanya yang kini Pengurus Pembangunan E-Sukan di Todak.

Kata Ikuto, beliau ingin menyaksikan bagaimana Orange Louvre Esports menyinar dalam liga ini.

“Kita nak lihat seberapa efektif kalau ada pemain import dalam pasukan. Boleh dikatakan mungkin Orange Louvre ini akan memulakan trend, sama ada ia trend baik atau dilupakan.

“Todak pula ada dua pemain baru jadi agak menarik untuk menyaksikan penambahbaikan dibuat pasukan ini,” katanya.

Tambah Ikuto, apa yang paling tak dapat dilupakan sejak MPL musim pertama semestinya peluang dan pengalaman berharga yang menjadikan dirinya berjaya seperti sekarang. Katanya, MPL memberikan nafas baru dalam bidang pengulasan.

“MPL adalah batu loncatan untuk saya lebih matang dan mengulas dengan lebih baik. Dari musim pertama hinggalah kelima, ia berbeza tapi makin ditambah baik.

“Kalau nak ikutkan, saya bersyukur kerana dari sinilah (MPL), saya mula mendapat panggilan kerja di kejohanan-kejohanan MLBB lain,” katanya.

Menurut pengulas tersohor negara ini, beliau ramalkan Resurgence, Geek Fam dan Todak menjadi top 3 pada minggu pertama musim liga ini.

 

Adam ‘Spartanker’ Faiz

Bagi Adam Faiz pula, beliau rasa sangat teruja dapat digandingkan dengan Ikuto sekali lagi.

“Saya boleh katakan, keserasian bersama Ikuto adalah di tahap terbaik dan saya bersyukur dapat diberi peluang menyampaikan ulasan kepada penonton sekali lagi,” katanya.

Kata Adam, cabaran kali ini adalah mod dalam talian yang mana tidak ada penonton hadir untuk menyaksikan kejohanan dan sedikit sebanyak ia memberi kesan.

“Sorakan untuk membakar semangat pengulas (shoutcaster) itu tidak ada.

“Sebenarnya ia memberikan impak juga kerana kami tak dapat dengar penonton bersorak dan menikmati kejohanan itu,” kata Adam.

Pengulas ini juga berkongsi pengalaman yang mematangkan kariernya dalam e-sukan dan semuanya bermula di MPL.

“Kesannya, saya rasa tutur kata dan penggunaan bahasa saya lebih bagus. Waktu digandingkan bersama Ikuto, loghat Kedah saya awalnya terlalu pekat tapi lama kelamaan saya belajar menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik.

“Dari sini (MPL) juga membuka peluang pekerjaan kepada saya dengan mendapat tawaran mengulas selain dijemput berkongsi pengalaman di insititut pengajian tinggi,” katanya.

Ketika ditanya pasukan mana yang menjadi tumpuan musim liga, Adam ingin melihat pasukan Divinity kerana mereka dianggap underdog berbanding pasukan lain.

 

Aiman ‘Laphel’

Segmen penganalisa dalam satu-satu kejohanan besar di Malaysia bukanlah selalu diadakan. Bagi Aiman Kamal atau Laphel sememangnya peluang ini dirasakan sangat berharga buatnya.

“Saya rasa teruja. Peluang ini memang tak akan datang bergolek kepada semua orang jadi saya rasa sangat bersyukur dapat menganalisa perlawanan untuk MPL musim ini,” kata Aiman.

Aiman berkata, cabaran utama untuk musim ini adalah ada 10 ban jadi banyak yang perlu dibuat kajian bagi hero-hero yang akan dikenakan ban.

“MPL juga selalu penuh kejutan, pertukaran roster, sistem ban baru dan patch terkini yang mengimbangkan pelbagai hero. Ada saja sesuatu yang ditunggu-tunggu setiap kali MPL.

“Jadi sebagai penganalisa saya sentiasa perlu cari meta baru dan cara untuk atasi. Kerja seorang penganalisa adalah mendedahkan rahsia atau misteri di sebalik strategi baru.

“Kalau orang kata hero ini terlalu kuat atau strategi ini melampau, tugas saya adalah buktikan strategi atau gandingan hero tersebut boleh diatasi,” katanya.

Aiman juga berminat untuk menganalisa Team SMG kerana ini adalah line up mereka yang paling kuat tapi keserasian dan strategi mereka akan menjadi persoalan.

MPL MY/SG Musim Keenam mengumpulkan 10 pasukan Singapura dan Malaysia bertanding selama enam minggu.

Mereka merebut hadiah wang tunai terkumpul RM417,250.

RELATED NEWS

+