Mobile Legends: ‘Setiap Pemain Sudah Peroleh Hak Mereka,’ – Pengurus Besar ASYN, Jeffery Chan

Pengurus Besar ASYN, Jeffery Chan menyangkal dakwaan segelintir pihak berhubung isu gaji tidak dibayar kepada ahli skuad yang pernah bernaung di bawah organisasinya biarpun mereka sudah ditamatkan kontrak.

Jeffery mengakui pihaknya berdepan dengan kelewatan pembayaran gaji kepada pemain pada bulan Julai dan Ogos namun ia sudah pun dilangsaikan sepenuhnya pada bulan Oktober.

“Ia bukan seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak mendakwa kami tak membayar sehingga lima bulan.

“Malah, pihak kami cuba berbincang dengan pemain cara terbaik untuk memastikan hak lain dipenuhi (makan, minum, tempat tinggal dan sebagainya),”

Jeffery Chan.

Bekas skuad ASYN terdiri daripada Ahmad Fuad ‘Fredo‘ Alili, Mohd Farid ‘Soloz‘ Zakaria, Abdul Wandi ‘Logan‘ Abdul Kadir, Andi Alfian ‘Gripex‘ Firman, Sofian ‘Penjahat‘ Sultan dan Herwin ‘Rush‘ Baharuddin.

Tambah Jeffery, mereka juga turut memenuhi hak pemain seperti pemberian hadiah wang tunai yang dimenangi dari kejohanan disertai sepanjang berada dalam organisasi itu.

“Sebelum kami melepaskan mereka, kami memastikan pemain menerima hadiah wang tunai keseluruhan daripada kejohanan kerana sebagai pemain profesional, mereka memang layak mendapatnya.

“Sejak awal lagi, kami tak mengambil walau satu peratus pun dari prizepool pemain kerana kami percaya mereka berusaha untuk mendapatkannya dengan kudrat masing-masing.

Jeffery juga berkata, dakwaan lain mengatakan pemain tidak mendapat layanan sepatutnya adalah benar namun mereka sudah pun cuba memperbaiki kesilapan itu.

“Ada masalah komunikasi, banyak maklumat tidak disampaikan terus kepada pemain dan mereka mempersoalkan hal itu.

“Pemain juga bertanyakan apa peranan mereka sebagai pemain profesional. Tapi mereka tidak diberitahu apa tanggungjawab mereka (hadir ke acara penaja, hadiri temu ramah bersama media dan lain-lain). Mereka terpaksa belajar sendiri jadi kami agak kesal perkara itu terjadi,”

Menurut Jeffery, kesemua isu ini sudah selesai dengan cara yang baik dan pemain ada tampil untuk berbincang dengan mereka sebelum dilepaskan (ditamatkan kontrak).

“Kami memahami kehendak pemain yang tidak lagi ingin bermain di bawah jenama besar kerana merasa tertekan. Malah, mereka juga nampaknya ingin beralih kepada livestreaming, jadi semestinya kami inginkan yang terbaik buat mereka dan tak ingin menghalang impian ini.

“Mereka juga sudah menubuhkan satu pasukan baru, Bosskur semalam,”

Team Bosskur yang terdiri daripada Ahmad Fuad ‘Fredo‘ Alili, Mohd Farid ‘Soloz‘ Zakaria, Abdul Wandi ‘Logan‘ Abdul Kadir, Andi Alfian ‘Gripex‘ Firman, Sofian ‘Penjahat‘ Sultan dan Herwin ‘Rush‘ Baharuddin

Dalam perkembangan lain, ASYN sedang mencari ahli baru untuk melengkapkan barisan pemain sedia ada.

“Kami akan mengumumkan di Facebook page pada minggu depan untuk membuka penyertaan kepada mereka yang berminat.

“Semestinya kami berharap dapat menemui ahli skuad baru dalam masa terdekat. Memandangkan Liga Profesional Mobile Legends hanya akan tiba pada tahun depan, kami masih punya masa untuk mencari bakat-bakat ini.

“Sudah tentunya lebih baik jika mereka mempunyai visi dan misi yang selari dengan organisasi ini,” kata Jeffery.

Katanya lagi, pihaknya kesal dengan insiden yang tak dapat dilelakkan selama ini (yang berlaku kepada bekas skuad ASYN).

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya. Esports masih lagi di peringkat awal dan pastinya ada cabaran ditempuh namun kami ambil iktibar dan akan lakukan yang lebih baik di masa depan,” 

Baca lanjut

RELATED NEWS

+