“Sayalah antara penyebab Amerika Utara ada slot di MSC 2023,” – MobaZane

Artikel ini ditulis oleh Haikal Johari.

Pemain The Valley, Michael Cosgun atau MobaZane mendakwa dia adalah salah satu faktor kenapa wilayah Amerika Utara mendapat slot ke Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) 2023. 

Kenyataan itu dibuat selepas Moonton membuat pengumuman bahawa tiga pasukan jemputan dari luar wilayah Asia Tenggara (SEA) akan dijemput ke MSC 2023.

Antara wilayah yang akan dijemput adalah Turkiye, Timur Tengah, Afrika Utara (MENA) dan Amerika Utara (NA). 

MobaZane menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Moonton kerana tidak memberi sebarang peluang untuk wilayah NA menunjukkan potensi mereka dengan menyertai kejohanan rasmi yang dianjurkan Moonton.

“Saya mungkin satu-satunya sebab NA berjaya mempunyai slot di MSC (2023).” kata MobaZane.

Dia juga berasa bahawa usaha Moonton menaikkan MLBB di NA tidak akan berhasil jika Moonton tidak menjemput pasukan dari wilayah itu untuk menyertai apa-apa kejohanan besar.

Di kejohanan dunia MLBB, M4 diadakan di Jakarta pada awal Januari lepas menyaksikan The Valley berjaya menewaskan pasukan lain yang mempunyai Liga Profesional (MPL) di negara masing-masing.

Moonton dalam satu kenyataan juga berkata mereka mahu MSC 2023 selari dengan visi ‘e-sukan untuk semua’ dan menjadi penanda aras bagi kejohanan besar lain (selain siri M) menyertakan lebih banyak wilayah selain Asia Tenggara.

Foto: Instagram @mobazaneofficial

RELATED NEWS

+