Mobile Legends: Sh4dow Bersedia Sertai Kelayakan MPL Musim Kedua Bersama Ahli Baru MyA

Pemain profesional Mobile Legends, Muhd Hilmi ‘Sh4dow’ Abd Halim yang juga tonggak utama pasukan Mysterious Assassins (MyA) menyuarakan kesediaannya untuk menyertai kelayakan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura musim kedua pada 22 Jun ini.

Katanya, walaupun sedang sibuk menyambut lebaran, ia tak menghalang dirinya berlatih bersama ahli pasukan.

“Memang kami akan berlatih bersama tapi kerana masing-masing sibuk beraya, kami akan kurangkan waktu latihan selama 2 hingga 3 jam sehari.

“Saya pun yakin dengan ahli baru ini, kami boleh pergi jauh dan boleh menjadi juara walaupun perlu mencari keserasian dan teamwork dalam masa begitu singkat,”

Hilmi berkata, walaupun menjadi satu-satunya pemain asal bagi MPL musim pertama, ia tak menghalang dirinya menyesuaikan diri dengan ahli baru bagi berentap dalam kelayakan MPL musim kedua ini.

“Kami dah kenal lama dan banyak berlatih bersama sebelum ini. Saya dah memang selesa bermain dengan mereka,”

Katanya, Mohd Zulshahrin ‘King Zyzz’ Zulkifli pula membuat keputusan untuk tak menyertai dan kini menjadi jurulatih MyA atas pilihannya sendiri.

“Sebab Zul (King Zyzz) punya role adalah pure marksman. Meta (strategi permainan) sekarang memang tak fokus pada marksman dan hero jenis ini sangat susah untuk berdepan dengan meta pihak lawan.

“Dia juga sibuk dengan komitmen bekerja dan tak mampu tumpukan perhatian sepenuhnya sebagai pemain profesional setakat ini,”

Ini adalah 6 pemain rasmi MyA yang akan menyertai MPL musim kedua nanti:

  • Zaidi ‘Lmao’ Asli
  • Muhamad Azim ‘Flint’ M.Suhaimi
  • Muhd Hilmi ‘Sh4dow’ Abd Halim
  • Muhammad Hazim ‘D Ace’ Zulkifli
  • Muhamad Fadhil ‘Padel’ Hishamuddin
  • Muhammad Adib ‘Nina’ Mohd Rizal

MPL Malaysia dan Singapura musim kedua mengumpulkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM399,000. Ia menggunakan tema ‘Kebangkitan Lagenda’ bermakna empat pasukan teratas dengan baki tiga ahli daripada musim lepas mendapat jemputan terus ke group stage MPL musim ini.

Mereka adalah Bigetron E-Sports yang juga pasukan IDNS SG sebelum ini. Diikuti dengan Flash Tyrants, AirAsia Saiyan dan terakhir, Mystic Burden.

MyA pula tak mendapat jemputan terus kerana tiga ahli pada musim pertama meninggalkan skuad itu sejurus selesai MPL musim pertama. Mereka perlu bersaing untuk mendapat enam tempat teratas bagi melayakkan ke regular season.

Pusingan kelayakan ini akan berlangsung pada 22 Jun dan berakhir pada 8 Julai ini. Lapan teratas yang memperoleh mata tertinggi dalam ranking liga ini akan berjumpa di Grand Final yang akan bermula pada Oktober dan juara akan membawa pulang wang tunai RM99,000.

RELATED NEWS

+