“Nak tengok player import bersinar, ianya perlu kesabaran dan mengambil masa,” – Sunfrost

Pemain import yang memasuki arena liga profesional MLBB (MPL MY) nyata mencipta banyak persepsi dan timbul diskusi sama ada strategi ini menjadi atau tidak dalam membantu pasukan MPL MY melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Bagi Syed Fitri Abharshah atau Sunfrost, keberkesanan pemain import di arena Malaysia ini mengambil masa. Katanya, ia bukanlah sebuah langkah mudah mahupun penyelesaian pantas.

“Seperti kita lihat, ramai juga pemain-pemain dari negara luar yang pernah beraksi di Malaysia namun tidak berjaya membawa impak yang besar pada musim pertama mereka.

“Perkara ini pada saya adalah sesuatu yang normal, kerana setiap pemain memerlukan masa untuk beradaptasi. Walaupun memainkan permainan yang sama, tetapi apabila melibatkan strategi, pastinya kita perlu mengenali lawan kita dengan baik untuk mengunci kemenangan,” katanya ketika dihubungi MyGameOn.

Sunfrost berkata, setakat ini hanya Lilbee dari Geek Fam saja pernah bermain lebih dari satu musim MPL MY.

“Ini menjadi sebuah tanda tanya, adakah kesemua pasukan di Malaysia tidak mempercayai proses kematangan pemain import mereka? Tetapi pada MPL MY S12 ini masih ramai pemain luar dibawa ke barisan utama untuk memperkuatkan pasukan mereka.

“Jadi saya berharap agar kesemua pasukan ini sedar akan proses yang diperlukan untuk menjadikan pelaburan mereka berbaloi. Jika kita merujuk kepada negara jiran, Indonesia, mereka banyak memberikan masa kepada pemain import untuk membiasakan diri sebelum mengharapkan pulangan yang tinggi,” tambahnya.

 
 
 
View this post on Instagram

A post shared by RSG Malaysia (@rsg.malaysia)

Ulas Sunfrost, kesabaran sangat diperlukan oleh pasukan-pasukan di Malaysia bagi membolehkan pemain import ini mencapai potensi tertinggi mereka.

“Maka, pada saya sekiranya dengan satu musim sahaja, pasti pasukan gabungan pemain tempatan dan pemain import takkan berjaya menandingi pasukan yang lebih berpengalaman di MPL MY.

“Melihat kepada pelaburan pasukan-pasukan di MPL MY S12, ada diantara mereka yang mengetahui cara bagi mempercepatkan proses pemain import ini beradaptasi. Sama ada persiapan yang lebih awal ataupun membawa rakan senegara mereka bersama.

“Apabila mereka mempunyai rakan untuk belajar bersama, pastinya ini memudahkan mereka untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran MPL MY,” katanya yang melihat HomeBois, Lunatix, RSG dan Team Secret sebagai pasukan berkebolehan tinggi bagi musim ini.

RELATED NEWS

+