Pemain CSGO ini berusia 63 tahun dan bermain secara kompetitif

Usia tidak bermakna apa-apa bagi Oleg, seorang warga emas dari Ukraine yang aktif bergiat dalam permainan dalam talian seperti Counter Strike Global Offensive (CSGO). Beliau bukan sekadar bermain CSGO di rumah seperti kita semua tetapi beliau menyertai pasukannya Ageless Shooters, di mana ahli pasukannya rata-rata berumur 60 tahun ke atas.

Menurut temu bual Oleh bersama rancangan YouTube TUT.BY, beliau berkongsi kisah hidupnya sebelum dan sewaktu menjadi pemain profesional CSGO yang berumur.

Oleg adalah graduan dari Akademi Perubatan yang berkhidmat di Tentera Laut sebagai doktor tentera. Sewaktu itu, CSGO adalah sesuatu yang asing baginya dan beliau tidak mengetahui apa-apa tentang permainan itu. Tetapi beliau diperkenalkan kepada permainan itu oleh anak-anaknya.

Beliau berkongsi, “Semasa anak-anak saya di sekolah menengah, saya perasan bahawa mereka sedang bermain sejenis permainan menembak. Saya menyuruh mereka melakukan perkara lain kerana saya tidak suka mereka membuang masa duduk di hadapan komputer sepanjang masa.”

Beliau juga pernah menyorokkan kabel komputer agar anak-anaknya tidak dapat bermain CSGO.

“Saya menyembunyikan kabel kuasa daripada mereka untuk menghalang dari bermain CSGO. Pada masa itu saya mula mengenal apa itu CSGO.”

Siapa sangka dalam langkah mendisiplinkan anak dapat membuka pintu ke sebuah dunia yang baru.

Semenjak itu, beliau mencari peluang untuk menyertai CSGO secara profesional. Rezeki tidak salah alamat apabila beliau dijemput untuk bermain bersama tujuh pemain lain pada tahun 2019.

“Kami giat berlatih selama dua bulan untuk bersaing dalam acara di Comic-Con,” katanya.

Dua pasukan dari Ukraine dan Sweden yang terdiri daripada pemain e-sukan yang bersara bertembung antara satu sama lain, mereka tewas dengan skor 16 kepada 1.

Menurut Oleg, pengalaman beliau sebagai tentera tidak begitu membantu kerana sudah terbiasa membidik menggunakan iron sights. Beliau berlatih agar dapat membiasakan diri dengan permainan itu. Oleg juga berkata bahawa beliau bermain 218 permainan dalam tempoh 3 bulan dan berjaya memenangi 117 perlawanan.

CSGO sudah banyak membantu Oleg dalam pelbagai aspek. Antaranya adalah ia membantu meningkatkan daya gerakan otot, ingatan, imaginasi dan lain lagi. Ia juga membantu Oleg memahami istilah-istilah teknikal yang sering digunakan oleh generasi ini.

Oleg dan pasukannya menyokong NA’VI, malah mereka bersorak untuk organisasi Ukraine semasa mereka mengharungi PGL Major Stockholm 2021.

Sumber rujukan: BullFrag

RELATED NEWS

+