“Pemain EBLZ berkemahiran tinggi cuma perlu digilap,” – Jurulatih, Silo

Pasukan EBLZ baru sahaja menamatkan losing streak mereka pada minggu lepas. Mereka berjaya menewaskan juara musih ketujuh, RSG MY dengan skor 2-1. Momentum mereka tidak terhenti dengan begitu sahaja, mereka menewaskan Team Bosskurr pada semalam dengan skor 2-1. 

Ini adalah salah satu pencapaian yang harus dibanggakan oleh pasukan EBLZ kerana sebelum ini nasib mereka kurang baik dan corak permainan mereka agak kucar kacir. Kejayaan ini tidak bergantung kepada pemain sahaja kerana Akmal Afi “Silo” Uzair Daud sudah menjadi jurulatih mereka baru-baru ini.

PENGALAMAN MELATIH PASUKAN EBLZ

Penulis sempat menemu bual Silo bagi mendapatkan pandangan serta pengalaman beliau yang berjaya mengubah pasukan EBLZ menjadi lebih berdisiplin.

Ketika ditanya tentang pengalaman beliau melatih pasukan EBLZ, Silo berkata “Saya baru sahaja masuk ke dalam pasukan sebagai jurulatih pada tiga minggu lepas, tidak banyak saya boleh membantu kerana tempoh yang singkat.”

“Saya memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh mereka dan banyak mengkaji pasukan yang akan dilawan EBLZ pada minggu itu,” ujarnya.

Selain itu, beliau mengatakan pemain dari pasukan EBLZ sudah mempunyai kemahiran mekanikal yang tinggi dan perlu digilap dengan lebih teliti untuk menjadi lebih baik.

“Tekanan agak tinggi untuk saya di dalam pasukan ini sejak dilantik menjadi jurulatih. Saya harus melatih pemain-pemain ini ketika pertengahan musim, masa yang sangat suntuk untuk melakukan perubahan namun begitu ianya terbukti berjaya selepas mereka berjaya mengecapi kemenangan,” katanya.

EBLZ TAMATKAN LOSING STREAK

Beliau menjadi teruja apabila EBLZ berjaya mendapatkan kemenangan pertama, baginya ia adalah salah satu pencapaian untuk pasukan itu.

“Saya berasa sangat bangga dengan pemain saya, mereka menjadi lebih berdisiplin dan kesilapan yang dilakukan dulu dapat diubah. Corak permainan mereka menjadi lebih konsisten dan rotasi yang mereka lakukan sangat berkesan dengan jayanya,” katanya.

Ketika ditanya tentang harapan beliau untuk pasukan EBLZ, “Harapan saya untuk EBLZ adalah melihat mereka meneruskan prestasi dan corak permainan yang konsisten untuk perlawanan seterusnya dan berjaya mara ke peringkat playoff. Ini adalah penting untuk menjadi pemangkin semangat mereka bagi menyertai kejohanan yang lebih besar seperti M3.

“Buat masa sekarang, saya hanya fokus 100% kepada usaha saya untuk menjadi seorang jurulatih. Belum ada niat untuk kembali ke arena kompetitif sebagai pemain profesional,” ujar beliau ketika ditanya adakah beliau akan comeback sebagai pemain profesional.

Kami dari MyGameOn berharap pasukan EBLZ terus konsisten dalam melakukan perubahan untuk layak ke playoff. Meskipun ini pengalaman pertama bermain di peringkat liga MPL, ia tidak menjadi satu halangan untuk bergerak maju seiring dengan pasukan veteran MPL yang lain.

RELATED NEWS

+